My Add

Tuesday 30 July 2013

Kakak nekad selamatkan adik dari rumah terbakar

PASIR PUTEH, ISNIN, 29 Julai, 2013: Tanpa memikirkan keselamatan dirinya, Nurul Wani Salleh nekad meredah api untuk menyelamatkan adik bongsunya dalam kebakaran rumah keluarga mereka di Kampung Pantai Dalam Rhu, Semerak di sini, semalam.

Bapanya, Salleh Awang Hitam, 42, berkata Nurul Wani, 20, yang berada di luar rumah, bergegas menyelamatkan adiknya Mohd Idham, 3, yang sedang nyenyak tidur dalam rumah papan itu.

Nurul Wani, anak sulung dari lima beradik, tidak mengalami kecederaan dalam kejadian kira-kira 3.30 petang itu.

"Ia satu pengorbanan yang besar dan saya merasa syukur Mohd Idham selamat...kesemua anak saya selamat dalam kejadian itu," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian hari ini.

Salleh yang merupakan bapa tunggal selepas kematian isteri, berkata beliau dan anak-anaknya terpaksa berbuka puasa di rumah jiran apabila semua juadah berbuka yang dibelinya hangus dalam kebakaran itu.

"Lebih menghibakan apabila semua pakaian raya anak-anak yang dibeli hasil tabungan wang upah bekerja sebagai buruh kasar turut hangus," katanya.

Menurutnya semua dokumen penting termasuk buku teks dan pakaian seragam sekolah anak-anaknya gagal diselamatkan dan mereka sekeluarga tinggal sehelai sepinggang. 

Ketika kejadian tiga anaknya yang lain Nurul Fatihah, 12, Mohd Asrol, 13, dan Mohd Asraf, 7, berada di ruang utama rumah itu dan mereka sempat menyelamatkan diri.

Ketua Penjaga Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Wan Baijuri Wan Hassan berkata seramai 14 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh dan Besut Terengganu dihantar memadamkan kebakaran itu.

Beliau berkata tiupan angin yang kuat serta kedudukan rumah berdekatan dengan pantai menyebabkan api marak dengan cepat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerak, Zawawi Othman yang melawat keluarga berkenaan berkata bantuan kecemasan sebanyak RM1,000 dihulur untuk membolehkan mangsa membeli makanan, pakaian raya dan pakaian seragam sekolah anak-anak.

"Sebuah rumah di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) akan diusahakan dengan segera untuk keluarga ini," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment