My Add

Tuesday 2 July 2013

Hormati kuasa Sultan Johor lantik Siew Kiong sebagai Exco

JOHOR BAHRU, ISNIN, 01 Julai, 2013: Semua pihak terutama pemimpin parti politik diminta menghormati keputusan Sutan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang melantik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Sebatang, Datuk Tee Siew Kiong sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco).

Setiausaha Sulit Sultan Johor, Jaba Mohd. Noah berkata, pelantikan itu adalah atas perkenan dan pilihan baginda yang termaktub di dalam Fasal 4 Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895.

“Dengan penjelasan ini diharap semua pihak terutamanya kepimpinan MCA ataupun yang lain haruslah menghormati keputusan yang telah dibuat dan tidak wajar mempertikaikan kuasa baginda sebagai Sultan yang memerintah negeri ini.

“Baginda telah melantik Siew Kiong supaya setiap kaum utama ada wakil dalam barisan Exco negeri. Sehubungan ini, baginda tidak perlu mendapatkan cadangan daripada mana-mana pihak dan juga tidak perlu menjelaskan mengapa Siew Kiong dipilih," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Jaba berkata, apa juga masalah yang timbul dalam MCA yang disertai Siew Kiong, bukanlah menjadi isu terhadap pelantikan beliau sebagai ahli Exco.

Menurutnya, walaupun jika Siew Kiong dipecat daripada partinya, beliau tetap merupakan ahli Exco kerajaan negeri yang dilantik oleh Sultan Johor.

Menurutnya, apa juga tindakan yang hendak diambil oleh parti terhadap beliau, itu adalah hak dan kuasa parti tersebut dan kepimpinannya.

“Perlu diingat, dalam hal ini baginda tidak akan mencampuri urusan dalaman parti politik mereka dan juga tidak mahu ada mana-mana parti mencampuri urusan pemerintahan baginda.

“Harapan baginda adalah jelas, perpaduan rakyat di negeri ini mesti dipelihara dan diperkukuhkan oleh semua kaum dan masyarakat yang tinggal di negeri ini," katanya.

Pada 20 Jun lalu, Majlis Presiden MCA menggantung keahlian Siew Keong selama tiga tahun kerana menerima jawatan Exco kerajaan negeri Johor. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment