My Add

Tuesday 2 July 2013

Jangan ungkit lagi isu pertikai titah Sultan Ibrahim - Ka Siong

KUALA LUMPUR, ISNIN, 01 Julai, 2013: Ketua Pemuda MCA, Datuk Dr. Wee Ka Siong enggan mengulas dakwaan yang beliau tidak pernah menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berhubung isu pelantikan Datuk Tee Siew Kiong sebagai Exco kerajaan negeri Johor.

Sambil menyifatkan dakwaan tersebut sebagai permainan politik pihak tertentu, bekas Timbalan Menteri Pelajaran itu meminta semua pihak tidak lagi mengungkit isu pelantikan bekas Setiausaha Penganjur MCA itu.

Malah beliau sekali lagi menegaskan tidak pernah mempertikai titah Sultan Johor berkaitan pelantikan berkenaan.

''Cukup-cukuplah. Isu ini sudah selesai dan saya sendiri sudah menghadap Sultan Ibrahim pada 24 Mei lalu dan saya tidak mahu isu itu diungkit lagi,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Baru-baru ini, akhbar berbahasa Inggeris menyiarkan kenyataan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mendakwa Ka Siong tidak pernah menghadap Sultan Johor berhubung isu pelantikan Siew Kiong.

Beberapa pihak sebelum ini mendesak Ka Siong memohon maaf secara terbuka kepada Sultan Johor kerana mempertikai titah baginda yang memperkenankan pelantikan Siew Kiong sebagai ahli Exco kerajaan negeri.

Desakan itu dibuat ekoran kenyataan Ka Siong pada 21 Mei lalu, yang dilaporkan mendesak Jawatankuasa Disiplin MCA memecat Siew Kiong kerana menerima jawatan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri.

Pada 20 Jun lalu, Majlis Presiden MCA menggantung keahlian Siew Keong selama tiga tahun kerana menerima jawatan Exco kerajaan negeri Johor.

Siew Kiong sebelum ini melepaskan tujuh jawatan dalam MCA tetapi kekal sebagai ahli biasa parti ekoran tindakannya menerima pelantikan jawatan Exco Johor yang bertentangan dengan resolusi MCA untuk tidak mempunyai wakil dalam Kerajaan Pusat atau mana-mana kerajaan negeri kerana prestasi tidak memberangsangkan parti itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-13, pada 5 Mei lalu.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri diberi masa 14 hari untuk merayu terhadap hukuman tersebut. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment