My Add

Tuesday 30 July 2013

Jakim siasat syarikat jualan langsung sebar fahaman Syiah

PUTRAJAYA, ISNIN, 29 Julai, 2013: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sedang menyiasat sebuah syarikat jualan langsung tempatan yang disyaki terlibat dengan penyebaran fahaman Syiah kepada umat Islam di negara ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Othman Mustapha berkata, syarikat itu didapati berselindung di sebalik aktiviti perniagaan untuk mengaburi mata orang ramai berhubung perbuatan mereka itu.

Beliau berkata, syarikat itu mengedarkan risalah berhubung fahaman Syiah kepada orang ramai dalam usaha mereka untuk memperluaskan ajaran songsang itu di negara ini.

"Perkara ini telah ditangani dengan menyekat penyebaran risalah tersebut di masjid dan surau, di samping memperakukan pengharamannya kepada pihak Kementerian Dalam Negeri.

"Kita juga meminta iklan tentang produk syarikat itu di radio ditarik balik," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Othman berkata, langkah penyiasatan itu merupakan usaha drastik Jakim untuk membendung fahaman Syiah daripada terus menular di negara ini terutamanya apabila melibatkan pertubuhan yang disyaki mengamalkan ajaran songsang tersebut.

"Tidak dapat dinafikan, kemungkinan terdapat pihak tertentu yang cuba berselindung di sebalik pertubuhan atau syarikat perniagaan bagi menyebarkan fahaman Syiah.

"Hal ini kerana dari segi luarannya memang tidak jelas kelihatan kegiatan mereka itu berlandaskan fahaman Syiah," katanya.

Selain itu, beliau berkata, pihaknya sering menjalankan pemantauan terhadap pertubuhan-pertubuhan yang disyaki berbuat demikian dalam mengekang ajaran tersebut.

"Jakim sentiasa bekerjasama dengan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) untuk memastikan tiada mana-mana pertubuhan Syiah didaftarkan. Perkara ini sedang diberi perhatian serius oleh pihak jabatan," katanya.

Beliau menambah, penularan fahaman Syiah di negara ini masih dapat dikawal dan tidaklah begitu kritikal seperti digembar-gemburkan.

Jelasnya, dakwaan yang mengatakan jumlah pengikut Syiah semakin meningkat merupakan satu propaganda semata-mata untuk menunjukkan bahawa ajaran mereka semakin diterima masyarakat.

"Langkah itu tidak lain tidak bukan hanya sebagai satu helah menuntut hak mereka agar dibenarkan bergerak secara sah," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment