My Add

Tuesday 30 July 2013

JKKK perlu simpan maklumat penduduk susah

SAMARAHAN, ISNIN, 29 Julai, 2013: Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di seluruh negara diminta menyimpan maklumat penduduk yang kurang bernasib baik bagi memudahkan bantuan disalurkan kepada mereka.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri berkata, maklumat itu penting untuk memastikan golongan tersebut iaitu warga emas, balu, ibu tunggal dan anak-anak yatim tidak tercicir daripada menerima bantuan.

Katanya, langkah tersebut merupakan tanggungjawab pengerusi dan kesemua ahli JKKK untuk merancang pembangunan sosial di kawasan kampung masing-masing.

"Pastikan tiada yang tercicir dan kerja-kerja menyemak nama mereka perlu dikenal pasti bagi memudahkan bantuan disalurkan dengan adil.

"Dalam masa yang sama, golongan berkenaan dikehendaki berjumpa dengan pengerusi JKKK supaya nama mereka boleh dikemukakan kepada kerajaan negeri untuk menerima bantuan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Nancy yang juga Ahli Parlimen Batang Sadong sebelum itu menyampaikan sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepada 291 warga emas dan ibu tunggal di Masjid Silaturrahim Kampung Aboi, Asajaya dekat sini semalam.

Yang turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya, Aidel Lariwoo.

Dalam perkembangan lain Nancy berkata, golongan yang kurang bernasib baik dinasihat supaya tidak berasa rendah diri dengan keadaan yang menimpa sebaliknya perlu berazam membina kehidupan baharu yang lebih baik.

Katanya, mereka perlu menanam impian yang tinggi dan realistik serta berusaha ke arah itu kerana hanya mereka yang mampu mengubah nasib diri dan keluarga.

"Ibu tunggal dan anak-anak yatim misalnya, tidak boleh berpuas hati dengan bantuan yang diberikan sebaliknya mereka perlu berusaha dalam pelbagai bidang yang boleh memberi sumber pendapatan.

"Jangan hanya kerana alasan miskin, kurang upaya, tiada tempat bergantung dijadikan sebab utama untuk terus hidup dalam keadaan yang susah hingga perlu bergantung pada ihsan orang," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment