My Add

Monday 1 July 2013

Jangan buat sebarang persepsi SPR disiasat SPRM

KUALA LUMPUR, ISNIN, 01 Julai, 2013: Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menggesa pihak tertentu tidak membuat sebarang persepsi mengenai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang sedang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu dakwat kekal.

Beliau turut mempersoalkan tindakan pembangkang yang mendesak semua petugas SPR meletakkan jawatan berhubung isu itu sedangkan pembangkang yang bertegas mahukan dakwat kekal digunakan pada Pilihan Raya Umum ke-13 lalu.

"Kenapa? Dia (pembangkang) yang minta dakwat kekal, tapi dia yang nak SPR letak jawatan bila dakwa ada isu.

"Saya dah pernah tegaskan, kita tak perlukan dakwat kekal, kita ada IC (kad pengenalan) untuk pengesahan (pengundi), tapi ada pihak yang takut (IC) disalah guna, jadi...sekarang suruh siasat pula," kata Tengku Adnan yang juga Menteri Wilayah Persekutuan kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Semalam, portal berita the Malaysian Insider melaporkan SPRM menubuhkan pasukan untuk menyiasat kemelut dakwat kekal, untuk melihat apakah terdapat pecah amanah dalam pembelian dakwat itu oleh SPR.

Sebuah portal juga melaporkan kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang yang juga Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng di Georgetown yang meminta semua petugas SPR meletakkan jawatan berhubung isu dakwat kekal.

Mengenai pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut, Tengku Adnan berkata BN tiada masalah jika pilihan raya kecil itu diadakan pada bulan puasa.
Kerusi DUN Kuala Besut kosong ekoran kematian wakil rakyatnya dari BN, Dr A Rahman Mokhtar pada Rabu lalu.

SPR akan mengadakan mesyuarat khas Jumaat ini bagi menetapkan tarikh pilihan raya kecil DUN Kuala Besut, yang pertama selepas PRU13, 5 Mei lalu. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment