My Add

Tuesday 2 July 2013

Tiada kompromi soal keselamatan, kesihatan bakal haji

KUALA LUMPUR, ISNIN, 01 Julai, 2013: Kerajaan tidak akan berkompromi dalam soal keselamatan dan kesihatan bakal jemaah haji di tanah suci Mekah, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Beliau berkata, komitmen itu jelas apabila semua bakal jemaah haji Malaysia diwajibkan menjalani pemeriksaan kesihatan selain mengambil ubat dan diberi suntikan vaksin sebelum berangkat mengerjakan rukun Islam kelima itu.
 
"Kerajaan Malaysia bukan hanya ambil langkah berjaga-jaga bila ada penyakit datang, tapi setiap masa," katanya kepada pemberita selepas majlis Pembentangan Dapatan Kajian Pemacuan Transformasi Sistem Perundangan Islam di Malaysia di sini, hari ini.

Jamil Khir mengulas penularan virus Sindrom Pernafasan Asia Barat (MERS) di Arab Saudi yang dilaporkan meragut 33 nyawa sejak September lalu, manakala 55 lagi jatuh sakit setakat ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, sehingga ini, Kuala Lumpur belum menerima sebarang maklumat dari Jeddah mengenai penularan virus yang membawa maut itu.

Dalam pada itu, Jamil Khir meminta agensi pelancongan atau pengembaraan yang menawarkan pakej umrah supaya hanya menetapkan tarikh berangkat ke tanah suci selepas permohonan visa diluluskan kerajaan Arab Saudi.

Beliau berkata, ini penting untuk mengelak insiden jemaah terkandas dan tidak dapat melakukan umrah walaupun melunaskan bayaran. 

"Ada agensi yang atur tarikh berangkat untuk umrah walaupun visa tak keluar lagi. Syarikat ini harus faham bahawa Arab Saudi ada sistem pengeluaran visa yang mana mereka perlu pastikan jumlah permohonan tidak melebihi jumlah yang sepatutnya berada di sana," katanya.

Mengenai keputusan Mahkamah Rayuan di Putrajaya pada 22 Jun lalu membenarkan peguam bukan Islam bertindak sebagai peguam syarie di semua mahkamah syariah di Wilayah Persekutuan, Jamil Khir berkata, perkara itu perlu dilihat dari sudut realiti dan kesannya pada masa akan datang.

"Dari sudut pelaksanaan boleh jalan... tapi kalau berlaku penghinaan mahkamah (oleh peguam bukan Islam) ia akan mendatangkan kesukaran kepada mahkamah kerana mahkamah syariah tidak boleh bicarakan kes bagi bukan Islam," jelasnya.

Dapatan Kajian Pemacuan Transformasi Sistem Perundangan Islam di Malaysia yang dibentangkan Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Profesor Datuk Seri Dr Zaleha Kamaruddin mengenal pasti 10 isu dan cabaran berkaitan undang-undang Islam di negara ini.

Antaranya salah tanggapan tentang kedudukan/kedaulatan Islam di Malaysia dan kaedah-kaedah pembetulan berkesan; mekanisme penyelarasan dan penyeragaman undang-undang Islam di Malaysia; tiada kerjasama sistematik antara agensi perundangan Islam serta peningkatan profesionalisme modal insan dalam bidang perundangan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment