My Add

Tuesday 30 July 2013

Tian Chua, Sivarasa dicabar sangkal pendedahan Jasbir

KUALA LUMPUR, ISNIN, 29 Julai, 2013: Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua dan Ahli Parlimen Subang, R. Sivarasa yang menjadi 'arkitek' memfitnah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam isu pembelian kapal selam Scorpene, dicabar menyangkal pendedahan yang dibuat oleh Jasbir Singh Chahl baru-baru ini.

Bekas Setiausaha Sulit Datuk Seri Anwar Ibrahim, Anuar Shaari berkata, Tian Chua dan Sivarasa yang berterusan memfitnah Perdana Menteri apabila mengaitkan pembelian Scorpene dengan pembunuhan Altantuya Shaariibuu, perlu tampil membuat kenyataan akhbar bagi menyangkal pendedahan Jasbir.

Beliau seterusnya mencabar Tian Chua dan Sivarasa membuat akuan bersumpah pernah bertemu Altantuya di Malaysia atau Perancis kerana Jasbir mengesahkan model Mongolia itu tidak terlibat dalam pasukan rundingan selain tidak mengenali mendiang.

"Tian Chua dan Sivarasa perlu buat kenyataan akhbar dengan segera dan mengemukakan segala bukti yang selama ini mereka dakwa Altantuya terlibat dalam pembelian Scorpene di Perancis bagi menyangkal segala pendedahan yang dibuat Jasbir.

"Ini kerana kedua-dua pemimpin kanan PKR ini sejak dari awal sehingga sekarang telah banyak menabur fitnah terhadap Perdana Menteri dalam isu Scorpene demi agenda politik pembangkang," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kelmarin, Jasbir yang merupakan pihak bertanggungjawab dalam urus janji pembelian Scorpene dalam satu temu bual bersama sebuah akhbar berbahasa Inggeris tempatan mengesahkan Altantuya tidak terlibat dalam pasukan rundingan tersebut.

Malah, beliau memberitahu, dokumen rasmi dari Perancis menjelaskan bahawa polis negara itu mengesahkan model Mongolia tersebut yang dibunuh kejam pada 2006 tidak pernah memasuki negara berkenaan dari 1999 hingga tarikh kematiannya dilaporkan.

Jasbir juga menyangkal tuduhan pembangkang kononnya pembiayaan RM452 juta (115 juta euro) sebagai komisen kepada syarikat Perimekar Sdn. Bhd, sebaliknya beliau menjelaskan bayaran tersebut adalah kos khidmat pengurusan penempatan dan latihan.

Dalam pada itu, Anuar menggesa pihak polis membuat siasatan mengenai hubungan antara Tian Chua, Sivarasa dan beberapa personaliti tertentu dalam pertubuhan tidak berdaftar, Suara Rakyat Malaysia (Suaram) dengan Altantuya bagi merungkai motif sebenar fitnah tersebut. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment