My Add

Tuesday 2 July 2013

Muhyiddi hurai cadangan tukar agama kanak-kanak

KUALA LUMPUR, ISNIN, 01 Julai, 2013:: Cadangan untuk membenarkan salah seorang daripada ibu atau bapa untuk menukar agama anak di bawah umur kepada Islam adalah berdasarkan penghakiman Mahkamah Persekutuan dan peruntukan Perlembagaan, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata kerajaan sedar dengan rungutan mengenai Rang Undang-undang Pentadbiran Agama Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 2013 yang dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat.

"Kerajaan sedar dan sedang mengambil kira semua pandangan. Kita meneliti perkara terbabit.

"Kabinet telah membincangkan perkara ini dengan teliti dan kita mengakui terdapat keperluan untuk penyelesaian yang lebih adil dalam hal ini," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Mengenai Pekerja Asing dan Pendatang Tanpa Izin di Parlimen hari ini.

Muhyiddin mengulas mengenai sama ada cadangan pindaan ke atas Seksyen 107(b) Rang Undang-undang Pentadbiran Agama Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 2013 bercanggah dengan keputusan Kabinet pada 2009 tidak membenarkan penukaran agama secara satu pihak sahaja.

Ditanya sama ada langkah berkenaan tidak konsisten dengan keputusan Kabinet berhubung penukaran agama kanak-kanak, Muhyiddin berkata : Ini adalah berdasarkan keputusan mahkamah, berdasarkan Perlembagaan Persekutuan. Ini adalah skop terkini," katanya.

Beliau berkata kebimbangan parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) yang menimbulkan bantahan terhadap cadangan itu juga akan dipertimbangkan.

Tanpa memberi penjelasan lanjut, Muhyiddin berkata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom akan membuat pengumuman relevan sebelum atau semasa pembentangan rang undang-undang terbabit. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment