My Add

Thursday 4 July 2013

Media sosial tarikan golongan muda cebur industri pertanian

 * ISNAIL Sabri Yaakob beramah mesra dengan sebahagian kakitangan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dalam program Amanat Bersama Menteri di Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR, RABU, 03 Julai, 2013: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani yakin perkembangan media sosial banyak memainkan peranan penting dalam menarik minat golongan belia untuk memacu pertumbuhan ekonomi negara terutamanya dalam industri pertanian.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perubahan corak pembacaan golongan muda yang lebih tertumpu kepada media elektronik juga perlu dipandang positif.

Tambahnya, dengan meletakkan kementerian dalam 'dunia remaja' yang lebih memilih media sosial berbanding media tradisional, beliau yakin usaha tersebut mampu menarik minat mereka untuk turut sama menceburi bidang pertanian.

"Kita tidak boleh menghalang seseorang itu membawa cerita negatif di laman sosial, namun sudah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk mengambil pendekatan dengan menguar-uarkan cerita-cerita positif supaya boleh mengubah pemikiran orang muda," katanya dalam sidang akhbar selepas program Amanat Bersama Menteri, di sini hari ini.

Tambah Ismail Sabri, dalam merealisasikan perkara berkenaan, kerajaan telah mengambil langkah menubuhkan pasukan siber di peringkat kementerian dan agensi- agensi kerajaan.

"Dari segi iklan, promosi dan sebagainya akan mula digunakan secara meluas di laman sosial sama ada di laman sesawang kementerian, Twitter, Facebook mahupun YouTube tidak lama lagi," jelasnya.

Dalam perkembangan sama, kementerian katanya, mengambil pelbagai inisiatif bagi menarik minat golongan muda terhadap industri berkaitan bidang pertanian termasuk mengadakan perbincangan dengan Majlis Belia Malaysia.

"Rundingan sudah diadakan dan pada dasarnya mereka bersetuju untuk mengadakan kerjasama dengan pihak Universiti Putra Malaysia (UPM).

"Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) juga mempunyai program MyAgrosis (Malaysia Agrosiswazah) sebagai langkah bagi memangkin minat golongan muda yang kini sudah mempunyai 10,000 jumlah keahlian," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment