My Add

Thursday 4 July 2013

PDRM siap sedia hadapi PRK DUN Kuala Besut

BESUT, RABU, 03 Julai, 2013: Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah bersiap sedia secara keseluruhan termasuk dari sudut logistik untuk menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut dalam tempoh terdekat ini.

Pengarah Logistik, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Zulkifli Abdullah berkata, ketika ini perbincangan diadakan bersama-sama Polis Terengganu bagi memastikan segala keperluan petugas dilengkapi bagi melancarkan proses pilihan raya itu.

"Memandangkan kita baru sahaja selesai Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13, jadi tiada masalah daripada segi kelengkapan berkaitan malah kita yakin Kontinjen Terengganu akan mendapat bantuan dari negeri-negeri lain melibatkan pertambahan keanggotaan serta sumber pengangkutan.

"Bagaimanapun, kita tetap mengukuhkan persiapan memandangkan PRK amat berbeza dengan PRU di mana semua penyokong sama ada parti kerajaan mahupun pembangkang akan berkumpul di kawasan terlibat dan mampu mencetuskan pelbagai kemungkinan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan program komuniti bersama penduduk di Pulau Perhentian dekat sini semalam.

Yang turut hadir, Ketua Polis negeri, Datuk Jamshah Mustafa dan timbalan beliau, Datuk Hamzah Mohd. Jamil.

Dalam program berkenaan, Zulkifli turut beramah-mesra bersama masyarakat Pulau Perhentian selain menyumbangkan hamper serta meraikan majlis makan tengah hari bersama penduduk di pulau tersebut.

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, memandangkan PRK DUN Kuala Besut bakal melibatkan pergerakan air apabila salah satu peti undi berada di Pulau Perhentian, Jabatan Logistik PDRM bersedia menambah bot untuk keperluan anggota dan pegawai bertugas.

Beliau berkata, kemudahan ini bagi melancarkan proses pilihan raya selain memantau keadaan pergerakan laut sepanjang proses itu berlangsung.

Kita sedia untuk tambah jumlah anggota dan bot namun itu bergantung kepada keperluan dan situasi dan kita juga masih ada bot-bot polis marin yang kita yakin dapat membantu sepanjang PRK itu diadakan," katanya.

Sementara itu, Jamshah Mustafa berkata, semua penyokong dan jentera parti yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut diminta menghormati budaya dan sensitiviti masyarakat setempat.

Beliau berkata, perbezaan nilai budaya antara penduduk luar dan masyarakat setempat mungkin boleh mencetuskan suasana yang tidak menyenangkan apabila masing-masing ghairah mencari sokongan dan melakukan provokasi.

Menurutnya, suasana kehidupan tenang di kawasan tersebut pastinya akan berubah apabila begitu ramai akan tertumpu di kawasan itu dalam persaingan politik yang dijangka cukup hangat.

"Polis menjangkakan semua kawasan atau peti undi di DUN Kuala Besut bakal menjadi kawasan panas sepanjang proses pilihan raya berkenaan diadakan dan berisiko akan berlaku provokasi penyokong.

"Apabila bercakap tentang PRK sudah pasti semua kawasan akan menjadi 'panas' kerana parti kerajaan atau pembangkang dari seluruh negara akan berkampung di kawasan berkenaan.

"Tidak mustahil akan berlaku ketegangan dan mungkin itu menjadi satu perkara yang perlu kita ambil berat," katanya.

Jamshah memberitahu, pihaknya akan menempatkan anggota tambahan di Pulau Perhentian seperti yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi melancarkan proses pengundian.

Katanya, selain membantu melancarkan proses pilihan raya itu, anggota polis juga ditugaskan untuk membuat kawalan orang awam serta pelancong yang berada di pulau pelancongan berkenaan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment