My Add

Monday 1 July 2013

PNB gembleng 167.4 bilion unit sehingga 31 Mei

SEREMBAN, ISNIN, 01 Julai, 2013: Permodalan Nasional Bhd (PNB) sudah menggembleng 167.4 bilion unit, hasil pelaburan baru dan pelaburan semula agihan pendapatan sehingga Mei tahun ini, yang meningkat 13 bilion unit berbanding 154.4 bilion unit pada penghubung tahun lalu.

Pengerusinya, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata, dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini, PNB telah menarik lebih 240,000 pemegang unit baharu, yang menjadikan jumlah terkini 11.48 juga pemegang unit melalui usaha pendidikan pelaburan.

"Kita percaya ia akan terus menarik golongan muda melabur dan merancang kewangan mereka," katanya semasa berucap pada majlis penyampaian hadiah Kuiz Pelaburan PNB 1Malaysia 2013 kategori sekolah menengah di sini.

Yang turut hadir ialah ahli Lembaga Pengarah Amanah Saham Nasional Bhd Tan Sri Md Desa Pachi dan Pengarah Pendidikan Negeri Sembilan Kalsom Khalid.

Katanya, pelaburan orang ramai dilaburkan dalam lebih 200 syarikat pelaburan PNB yang besar, moden dan strategik seperti Maybank, Sime Darby, UMW Holdings, NCB Holdings, CCM, MIDF, MNRB, Takaful Ikhlas dan Prolintas, di mana keuntungannya dikongsi dengan pelabur, dalam bentuk dividen dan bonus.

"Sejak 1981, PNB telah membayar dividen dan bonus yang kompetitif kepada para pelabur dengan jumlah terkumpul bernilai lebih RM103 bilion. Tahun lepas sahaja, kita mengagihkan dividen dan bonus lebih RM11.3 bilion," katanya.

Mengenai pertandingan itu yang mula diperkenalkan pada 2001, beliau berkata ia bertujuan memberi pendedahan dan pendidikan kepada pelajar sekolah menengah mengenai konsep pelaburan di samping menanam minat di kalangan mereka untuk mendekati dan mempelajari bidang yang berkaitan dengan pelaburan dan perancangan kewangan. 

Selain itu, pertandingan itu turut disasarkan kepada kategori universiti, badan beruniform dan institut pendidikan guru.

Sebanyak 1,525 buah sekolah dengan 4,575 orang pelajar dari seluruh negara menyertai pertandingan kali ini.

Sementara itu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Penggawa Barat, Pontian, Johor yang diwakili Maisarah Adbilah Mohd Nasir, Mohamad Nor Afiq Mohd Yazed dan Nur Firza Sahira Wari muncul johan manakala naib johan SMK Seri Pagi di sini yang diwakili Syapiqah Badrottamam, Chieu Wei Liang dan Syamimi Hazwani Azman.

SMK Datuk Penggawa Barat adalah juara bertahan dan dengan kemenangan ini sekolah ini muncul johan enam tahun berturut-turut.

Tempat ketiga dan keempat masing-masing dimenangi SMK Sulaiman, Bentong, Pahang dan SMK Sultanah Asma, Kota Setar, Kedah.

Johan pertandingan itu menerima piala pusingan, piala iringan serta unit Amanah Saham Gemilang (ASG) Pendidikan bernilai RM8,000, naib johan menerima piala iringan dan unit ASG Pendidikan bernilai RM5,000 manakala tempat ketiga menerima piala iringan dan unit ASG Pendidikan bernilai RM3,000. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment