My Add

Monday 1 July 2013

Proses, keputusan PR hanya boleh dipersoal di mahkamah: Shahidan

KUALA LUMPUR, ISNIN, 01 JulI, 2013: Proses dan keputusan pilihan raya hanya boleh dipersoalkan di mahkamah dan bukannya melalui siasatan oleh mana-mana suruhanjaya siasatan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Beliau berkata, ia boleh dipersoalkan di mahkamah kerana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Perkara 118 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan tiada pemilihan ke Dewan Rakyat atau Dewan Undangan sesuatu negeri boleh dipersoalkan kecuali melalui petisyen pilihan raya yang dikemukakan kepada Mahkamah Tinggi yang mempunyai bidang kuasa di tempat pilihan raya itu diadakan,” katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Lim Lip Eng (DAP-Segambut) di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Lim mengajukan pertanyaan mengenai Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat proses Pilihan Raya Umum ke-13 dan keputusannya, sama ada ia bersih dan adil.

Shahidan berkata, Seksyen 35, Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5) juga menjelaskan petisyen pilihan raya boleh dibuat sekiranya pempetisyen merasakan perisytiharan bahawa pilihan raya tidak sah, orang itu tidak dipilih dengan sewajarnya atau sepatutnya tidak dilapor pilih dan suatu tafahus, jika kerusi dituntut untuk seseorang calon yang tidak berjaya atas alasan dia mendapat majoriti.

Berhubung pertanyaan Lim mengenai penubuhan RCI bagi mencari fakta dan punca rusuhan yang berlaku pada 13 Mei 1969, beliau berkata, berdasarkan Seksyen 2 Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119) kuasa untuk melantik pesuruhjaya terletak pada Yang di-Pertuan Agong.

Shahidan berkata, bagi menangani isu-isu yang membawa kepada rusuhan itu, kerajaan telah menubuhkan Majlis Muhibah dan Jabatan Perpaduan Negara bagi menggalakkan semangat muhibah dan perpaduan dalam kalangan masyarakat serta menyusun dan melaksanakan dasar serta aktiviti yang dapat memupuk perpaduan kaum.

"Berhubung kes kematian tahanan di dalam lokap, serta salah guna kuasa dan keganasan polis, Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan menubuhkan pasukan petugas khas mengikut Seksyen 28 Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (Akta 700) bagi menyiasat kes itu," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment