My Add

Thursday 4 July 2013

RM2b laksana 79 projek pembangunan di Sabah, Sarawak

KUALA LUMPUR, RABU, 03 Julai, 2013: Kerajaan memperuntukkan RM2 bilion untuk melaksanakan 79 projek pembangunan infrastruktur asas luar bandar di Sabah dan Sarawak.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, daripada jumlah itu, Sarawak menerima 52 projek dengan nilai RM1.3 bilion.

"Kerajaan komited mengatasi masalah kemudahan infrastruktur dan pembangunan ekonomi luar bandar melalui pelaksanaan Pelan Induk Pembangunan Luar Bandar (PIPLB) yang berteraskan Program Transformasi Luar Bandar.

"Buktinya, sejak 2010 kerajaan melalui program di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara telah membina jalan luar bandar di Sarawak sepanjang

911.87 kilometer, menyambung air bersih ke 71,064 rumah, membina 18,301 rumah dan menyambungkan bekalan elektrik 24 jam kepada 46,457 rumah," katanya dalam soal jawab di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Aaron Ago Dagang (BN-Kanowit) yang inginkan penjelasan mengenai pelan pembangunan luar bandar terutama di Sabah dan Sarawak dalam mengatasi masalah kemudahan infrastruktur dan pembangunan ekonomi kawasan itu.

Bagi meningkatkan pendapatan penduduk luar bandar, Mohd. Shafie memberitahu, kementeriannya akan melaksanakan Program Desa Abad ke-21 dengan menggabungkan dua program Cabaran Perniagaan Desa dan Program Desa Lestari.

Beliau berkata, projek Program Desa Lestari dengan peruntukan RM137 juta itu akan dilaksanakan di 42 kampung terpilih melibatkan projek ekonomi seperti agro-pelancongan, pertanian, perikanan, penternakan, industri pembuatan dan pemprosesan.

"Antara program lain yang turut dilaksanakan dalam usaha membantu meningkatkan pendapatan dan menjana pembangunan ekonomi penduduk luar bandar di Sabah dan Sarawak adalah Program Lonjakan Mega Luar Bandar (agropolitan), Program Tanam Semula Getah dan Sawit dan program penyediaan infrastruktur ladang.

"Kerajaan telah melaksanakan sebanyak 11 program agropolitan dan setakat tahun lalu, lima daripadanya dilaksanakan di Sarawak dengan jangkaan pendapatan peserta ditingkatkan dari RM300 kepada RM1,800," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment