My Add

Thursday 4 July 2013

Sasar 500,000 ahli tahun ini

Oleh BADRUL HAFIZAN MAT ISA
 
 * IBRAHIMI Ali mengadakan sidang akhbar berhubung sasaran meningkatkan keahlian Perkasa di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR, RABU, 03 Julai, 2013: Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menyasarkan mampu meningkatkan keahliannya kepada 500,000 orang menjelang hujung tahun ini.

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, buat masa ini keahlian sedia ada di seluruh negara adalah sebanyak hampir 350,000 orang.

"Ketika ini Perkasa mempunyai hampir 350,000 ahli, namun hanya 170,000 daripada jumlah tersebut membayar yuran keahlian seumur hidup serta memiliki kad keahlian Perkasa.

"Jadi, kami menyasarkan kira-kira 500,000 orang mendaftar menjadi ahli selain memiliki kad keahlian Perkasa menjelang akhir tahun ini, malah mereka yang mendaftar tersebut juga akan dipastikan mendaftar sebagai pemilih pada pilihan raya umum akan datang," katanya dalam sidang akhbar Perkasa di sini hari ini.

Yang hadir sama, Timbalan Presidennya, Datuk Abdul Rahman Bakar dan Setiausaha Agong Perkasa, Syed Hassan Syed Ali.

Tambah Ibrahim, bagi mencapai sasaran tersebut, Perkasa telah menubuhkan Biro Daftar Pemilih dan Keahlian yang merupakan sebahagian daripada hala tuju perjuangan Perkasa pasca Pilihan Raya Umum Ke-13.

"Biro khas ini akan dipengerusikan oleh Bekas Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Leftenan Jeneral (B) Datuk Mohd. Salleh Ismail manakala Timbalannya merupakan Timbalan Ketua Penerangan Perkasa, Abdullah Mansor selain dibantu 15 ahli jawatankuasa," katanya.

Sementara itu, hasil program retreat yang dijalankan bulan lalu, pertubuhan tersebut menubuhkan tiga biro khas iaitu Biro Silaturahim dan Kepentingan Nasional, Biro Perhubungan Awam dan Biro Perkaderan dan Latihan.

"Perkasa juga akan menumpukan aspek perkaderan dan latihan kerana sesebuah organisasi akan kuat sekiranya memiliki ramai ahli yang mempunyai jati diri yang kuat.

"Selain itu, penubuhan biro khas ini dilihat dapat memperkasakan lagi Perkasa sekaligus lebih lantang dan agresif dalam menjaga kepentingan serta menuntut hak orang Melayu dan bumiputera di negara ini," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment