My Add

Monday 1 July 2013

Tiada cadangan pindah segera rakyat kita di Mesir

KUALA LUMPUR, ISNIN, 01 Julai, 2013: Wisma Putra tidak mempunyai perancangan untuk segera memindahkan rakyat Malaysia di Mesir berikutan krisis politik yang semakin meruncing di negara itu.

Seorang pegawai Wisma Putra yang enggan namanya disiarkan semasa dihubungi Bernama berkata, keadaan di Mesir masih terkawal, semua rakyat Malaysia selamat dan tiada rakyat Malaysia dilaporkan terlibat dalam sebarang perhimpunan yang diadakan di negara itu.

"Ketika ini terdapat kira-kira 10,050 pelajar Malaysia di Mesir dan mereka telah dinasihatkan supaya tidak keluar rumah dan menjauhi kawasan-kawasan konflik dan diingatkan supaya tidak menyertai perhimpunan," katanya.

Kementerian Luar sedang memantau perkembangan terkini demonstrasi yang diadakan di Kaherah dan beberapa bandar raya utama lain di Mesir.

Katanya sejak beberapa hari lepas, demonstrasi berkenaan mengakibatkan ratusan orang cedera.

Beliau berkata keadaan tidak menentu di negara itu semakin memuncak dan rakyat Malaysia dinasihat supaya menangguhkan dan menjadualkan semula lawatan ke negara itu.

Dilaporkan ribuan peserta demonstrasi yang berhimpun di Dataran Tahrir, Kaherah, antara lain mendesak Presiden Mohamed Morsi meletak jawatan manakala ribuan penyokong Morsi berhimpun di Nasr City yang terletak bersebelahan untuk menyatakan sokongan kepada kerajaan.

Untuk maklumat lanjut mengenai keadaan di Mesir, rakyat Malaysia boleh menghubungi Kedutaan Malaysia di Kaherah di talian (202) 37610013/19/68/73 atau Bilik Operasi Kedutaan Malaysia di talian 00-2-02-37610270 atau 02-37610013/02-37610068 sambungan 141 atau menerusi e-mel di alcairo@kln.gov.my - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment