My Add

Friday, 5 July 2013

Wanita sarat mengandung hadapi 6 tuduhan pecah amanah

SHAH ALAM, JUMAAT, 05 Julai, 2013: Seorang bekas penolong akauntan sebuah syarikat yang sarat mengandung lapan bulan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas enam pertuduhan pecah amanah membabitkan nilai keseluruhan RM553,391.90.

Fara Wahida Mad Aziz, 34, dari Bandar Tun Hussein, Cheras, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di depan Hakim Mohd Sabri Ismail.

Mohd Sabri membenarkan Fara Wahida diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 20 Ogos ini untuk sebutan semula kes.

Mengikut pertuduhan, Fara Wahida, yang diamanahkan dengan penguasaan ke atas cek RHB Bank dan Affin Bank Bhd milik Syarikat Seri Siantan Sdn Bhd, telah dengan curangnya menyalahgunakan cek berkenaan.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Syarikat Seri Siantan di No 45A, Jalan Badminton 13/29, Seksyen 13 di sini antara 22 Jan 2009 dan 3 Mac 2011 mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dan sebatan serta boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Noor Husnita Mohd Radzi menawarkan jaminan RM100,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin, bagaimanapun peguam Hisham Nazir memohon jumlah itu dikurangkan atas alasan Fara Wahida memberi kerjasama yang baik kepada pihak polis sepanjang siasatan.

Beliau juga berkata anak guamnya dijangka bersalin pada 1 Ogos ini. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment