My Add

Monday, 2 December 2013

MPOB rancang bina pusat pembangunan sawit di Kuala Kangsar

KUALA KANGSAR, AHAD, 01 Disember, 2013: Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) merancang membina sebuah pusat pembangunan kelapa sawit di sini, yang mampu menyelaras dan memajukan komoditi berkenaan secara global.

Pengerusi Pegawai Eksekutif MPOB, Datuk Wan Khairil Anuar Wan Ahmad berkata, pusat pembangunan itu akan memainkan peranan dalam pemilihan biji benih bermutu, penanaman kelapa sawit contoh sebagai bahan uji kaji selidik khususnya pengeluaran hasil yang boleh menjana minyak sawit bermutu.

Menurut beliau, pusat pembangunan itu akan menjadi sebuah pusat kajian kelapa sawit terbesar yang dilengkapi pusat pembenihan, pusat penyelidikan, makmal pemerosesan dan lain-lain mengikut keperluan teknologi terkini.

"Saya melihat pentingnya sebuah pusat pembangunan kelapa sawit sebegini diwujudkan dalam usaha meningkatkan kemajuan dari segi penghasilan buah kelapa sawit yang lebih banyak, bermutu dan boleh meningkatkan lagi pendapatan pengusaha.

"Apabila beroperasi kelak, pusat pembangunan ini akan menjadi model yang boleh memberi manfaat kepada pekebun kelapa sawit di negara ini untuk merujuk apa sahaja masalah berhubung komoditi ini termasuk dari luar negara," katanya selepas merasmikan Program Pengagihan Peruntukan Touch Point Usahawanita, Agropreneur Muda dan Dewasa anjuran Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen Kuala Kangsar di Dewan Besar di sini hari ini.

Pada majlis itu, seramai 300 usahawan menerima bantuan berupa alat memancing, ketuhar dan pengisar yang disumbangkan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Wan Khairil Anuar yang juga Ahli Parlimen Kuala Kangsar menjelaskan, projek itu akan mewujudkan banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan, sekali gus mengurangkan penghijrahan anak muda ke bandar kerana mencari pekerjaan.

Menurutnya, beliau telah mengadakan pertemuan dengan Pegawai Daerah Kuala Kangsar, Dr. Zulkifli Muhamad bagi mendapatkan tapak yang sesuai untuk membangunkan pusat berkenaan.

Kata beliau, beberapa lokasi tapak untuk pusat pembangunan berkenaan telah pun dikenalpasti tetapi masih memerlukan kaji selidik secara mendalam. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment