My Add

Saturday 21 June 2014

17 sekolah lagi dipilih Sekolah Amanah Yayasan AMIR

KUCHING, JUMAAT 20 Jun, 2014: Sebanyak 17 buah sekolah terdiri daripada sekolah berprestasi tinggi, sederhana dan lemah dengan pelbagai latar belakang sosioekonomi dipilih sebagai Sekolah Amanah Yayasan AMIR pada tahun ini.

Timbalan Pengerusi Khazanah Nasional Berhad (Khazanah), Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata, pemilihan sekolah berkenaan menjadikan jumlah sekolah amanah di seluruh negara kini sebanyak 30 buah.

Katanya, Yayasan AMIR yang ditubuhkan di bawah Khazanah pada 2011 menerusi perkongsian awam dan swasta dengan Kementerian Pendidikan bertujuan memacu peningkatan kualiti serta hasil pendidikan sekolah-sekolah di negara ini.

"Selain itu, Yayasan AMIR juga menerapkan konsep modal insan melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025) iaitu memastikan murid-murid dan para pelajar dari sekolah amanah mempunyai kebolehan dalam semua bidang, berwibawa dan berintegriti tinggi.

"Kerajaan percaya melalui pendidikan berkualiti akan memastikan pendidikan negara terus relevan dengan kehendak pasaran, selain membolehkan rakyat berdepan dengan cabaran serta suasana persaingan antarabangsa yang kian meningkat," katanya berucap merasmikan Persidangan Sekolah Amanah Ketiga 2014 di sini semalam.

Sekolah amanah memberi kebebasan autonomi kepada guru besar dan pengetua sekolah memainkan peranan tersendiri dalam membawa perubahan di sekolah masing-masing.

Di Sarawak, antara sekolah kluster dipilih sebagai sekolah amanah adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Combined, SK Empila, SK Tabuan, Sekolah Menengah Sains Kuching dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Setia (kini dikenali sebagai SMK Bandar Kuching 2). - UTUSAN

No comments:

Post a Comment