My Add

Saturday 21 June 2014

Yayasan Usman Awang lancar anugerah integrasi

 Syed Husin Ali
KUALA LUMPUR, JUMAAT 20 Jun, 2014: Yayasan Usman Awang (YUA) hari ini mengumumkan pelancaran program Anugerah Integrasi Nasional Usman Awang (AINUA) 2014 bagi memilih individu dan organisasi untuk menyertai program berkaitan perpaduan kaum di negara ini.

Anugerah yang dibahagikan kepada dua kategori iaitu Salam Benua dan Merpati Putih itu menawarkan hadiah wang tunai sehingga RM150,000 dan ia diadakan sejak Mei lalu sehingga September depan.

Pengerusi yayasan itu, Dr. Syed Husin Ali berkata, menerusi anugerah itu pihaknya berharap dapat memilih pemenang dan memberi pengiktirafan kepada mereka yang berusaha dan berjasa dalam mengeratkan hubungan antara kaum demi perpaduan dan integrasi nasional.

"Anugerah ini terbuka kepada semua rakyat Malaysia sama ada individu atau organisasi. Dengan penganugerahan ini diharap semangat Allahyarham Usman Awang mengenai integrasi nasional dapat dipupuk dan keharmonian serta perpaduan kaum dapat diperkasa," katanya pada majlis perasmian anugerah itu di sini, semalam.

Yayasan Usman Awang yang ditubuhkan tahun ini bertujuan mengumpulkan semula kesemua hasil karya Sasterawan Negara berkenaan meliputi puisi, novel, drama dan sebagainya.

Menurut Syed Husin, anugerah itu dijalankan dengan kerjasama Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia yang menawarkan hadiah RM100,000 kepada penerima anugerah Salam Benua.

"Sehingga kini, YUA menerima sejumlah 60 permohonan daripada peserta pelbagai peringkat dan kita berharap lebih ramai menyertai anugerah tersebut," katanya.

Bagi anugerah Merpati Putih pula katanya, lima pemenang akan dipilih dan bakal menerima hadiah wang tunai RM10,000 setiap satu.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai anugerah ini boleh menghubungi Sekretariat YUA di talian 03-22734008 atau melayari laman web yayasan itu di www.ainua.my. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment