My Add

Saturday 21 June 2014

UiTM bina kampus baharu guna PFI

SHAH ALAM, JUMAAT 20 Jun, 2014: Universiti Teknologi Mara (UiTM) menggunakan kaedah Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) bagi pembinaan kampus baharu di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), selaras dengan keputusan kerajaan untuk meningkatkan jumlah kemasukan pelajar ke universiti itu.

Pejabat Penolong Naib Canselor, Pembangunan, Pengurusan Fasiliti dan Teknologi Komunikasi Maklumat (ICT) UiTM dalam kenyataannya berkata, kerajaan memutuskan menggunakan PFI kerana kaedah tersebut dapat dilaksanakan dengan segera melalui pembiayaan pihak swasta setelah projek mendapat kelulusan.

Menurutnya, menerusi PFI, pembayaran kepada syarikat konsesi hanya bermula setelah projek siap sepenuhnya dan diserahkan kepada kerajaan.

"Projek PFI dapat disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan tanpa pelanjutan masa. Sekiranya projek tidak disiapkan atau lewat disiapkan, syarikat konsesi tidak akan mendapat sebarang bayaran.

"Tidak timbul isu menyelamatkan projek memandangkan risiko pembinaan merupakan tanggungjawab syarikat konsesi yang mana projek tersebut akan diserah kepada kerajaan apabila siap sepenuhnya," jelas kenyataan itu yang dikeluarkan di sini malam tadi.

Kenyataan itu menyebut, pembayaran balik kepada syarikat konsesi adalah termasuk bayaran untuk penyenggaraan dan penggantian komponen utama seperti sistem pendawaian dan lif.

Dalam hal ini, katanya, UiTM tidak perlu keluarkan kos menyenggara dan penggantian komponen utama dalam 20 tahun.

Dengan penyenggaraan ini, katanya, UiTM akan menerima bangunan pada akhir tempoh konsesi dalam keadaan baik.

"Syarikat konsesi bagi projek UiTM ini dibenarkan untuk membuat pembiayaan semula dan keuntungan daripada pelaksanaan tersebut dikongsi sama rata dengan pihak kerajaan.

"Sehubungan itu, kaedah PFI merupakan perolehan yang cepat di samping mempunyai nilai kewangan kerana proses penilaian yang ketat melalui bengkel pengurusan nilai serta berkongsi pengurusan risiko dengan syarikat yang melaksanakan projek tersebut," ujarnya.

Naib Canselor UiTM, Prof. Tan Sri Ir. Sahol Hamid Abu Bakar baru-baru ini menyelar pembangkang kerana mendakwa syarikat yang dilantik universiti berkenaan untuk membina enam kampus membuat keuntungan berganda.

Katanya, tuduhan sedemikian adalah tidak berasas berdasarkan perkiraan kewangan UiTM semasa dan masa depan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment