My Add

Friday 13 June 2014

1,747 warga JPM termasuk penjawat awam OKU diiktiraf

PUTRAJAYA, KHAMIS 12 Jun, 2014: Seramai 1,747 pegawai dan kakitangan Jabatan Perdana Menteri (JPM) menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang sebagai pengiktirafan terhadap prestasi kerja cemerlang dalam bidang tugas masing-masing.

Mereka merupakan penjawat awam cemerlang yang mewakili 58 jabatan, agensi dan bahagian dalam JPM.

Daripadanya, tidak kurang penjawat awam daripada golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) telah membuktikan bahawa kekurangan fizikal tidak menjadi penghalang untuk cemerlang dalam kerjaya.

Pembantu tadbir dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Nor Aida Jaafar, 30, membuktikan penyakit saraf yang dialaminya tidak menjadi penghalang untuk terus bekerja secara bersungguh-sungguh.

"Walaupun terpaksa mengguna kerusi roda, tetapi ia tidak menghalang saya untuk terus be-kerja dan memberi sumbangan.

"Untuk mencapai hasil yang baik, kita perlu mempunyai semangat waja yang bersedia untuk berkhidmat dan menyumbang kepada negara," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Seorang pekerja dari golongan orang kelainan upaya (OKU), Mohammad Zaki Mohamed Yusoff, 33, pula gembira dan bersyukur ke-rana apa yang disumbangkan sebelum ini mendapat perhatian maji­kan.

"Ini menunjukkan OKU juga dapat bekerja dengan baik, saya juga berharap lebih banyak OKU akan diambil dalam sektor awam.

"Kejayaan saya menunjukkan bahawa OKU juga mampu mencapai kecemerlangan dan berjasa kepada negara, jika kita diberi peluang untuk berbuat demikian ," katanya yang merupakan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan.

Seorang lagi OKU, Zarina Aziz, 33, berkata, penerimaan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang mendorongnya untuk berusaha dengan lebih bersungguh-sungguh pada masa akan datang.

"Anugerah ini merupakan satu pengiktirafan terhadap perkhidmatan saya sebagai seorang penjawat awam.

"Saya gembira kerana tidak me­nyangka sumbangan yang diberikan selama ini rupa-rupanya diambil tahu oleh pihak atasan," katanya.

Sementara itu, PTD dari Bahagian Istiadat dan Urusetia Persidangan Antarabangsa, Kamis Samin, 50, bersyukur kerana memperoleh Anugerah Perkhidmatan Cemerlang buat kali ketiga.

"Anugerah ini sudah tentunya akan membakar semangat untuk terus berkhidmat dengan cemerlang pada masa depan," katanya.

Abdul Rahim Abul Aziz, 34, pula berkata, penerimaan anugerah itu merupakan pengiktirafan terhadap usaha gigihnya yang berkhidmat sebagai inspektor di Majlis Keselamatan Negara.

"Sebagai penjawat awam, kita perlu berusaha bersungguh-sungguh dan berjasa kepada negara.

"Tiada jalan pintas untuk berjaya melainkan terus bekerja secara berdisiplin dan bersungguh-sungguh," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment