My Add

Friday 13 June 2014

Saharah terkejut diumum sebagai penerima Anugerah Khas

 * Dr. Ali Hamsa menyampaikan Anugerah Khas Jabatan Perdana Menteri (JPM) kepada Saharah Sapiyi di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di Putrajaya, semalam.
PUTRAJAYA, KHAMIS 12 Jun, 2014: Seorang Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD), Saharah Sapiyi, 39. tidak menyangka sumbangan­nya kepada sektor awam selama ini membolehkan beliau terpilih sebagai penerima Anugerah Khas Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Anugerah tersebut telah disampaikan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa dalam majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang JPM 2013 yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Saharah berkata, beliau terkejut apabila diumumkan sebagai pemenang Anugerah Khas kerana sebelum ini hanya diberitahu akan menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dalam majlis tersebut.

"Walaupun terkejut, saya berasa amat gembira kerana kerja keras selama ini ter­nyata berbaloi," katanya yang kini berkhidmat dalam Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan (Mampu).

Penerimaan Anugerah Khas tersebut boleh dikatakan istimewa buat Saharah memandangkan beliau sudah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang seba­nyak tiga kali.

"Sebagai seorang penjawat awam, saya memastikan semua kerja yang diamanah bukan sahaja disiapkan mengikut masa, tetapi disiapkan sehingga saya sendiri berasa puas hati.

"Ini bermakna kita tidak harus berkerja sekadar untuk menyiapkan kerja semata-mata, tetapi perlu memastikan semua kerja itu diusahakan dengan sebaik mungkin," katanya.

Anugerah Khas JPM merupakan pengiktirafan dan penghargaan kepada hanya seorang daripada 1,747 orang penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2013.

Penerima anugerah dipilih berdasarkan kecemerlangan berterusan pengawai di mana penerima mesti pernah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang lebih daripada tiga kali dari sekurang-kurangnya dua buah kementerian, jabatan atau agensi.

Anugerah Perkhidmatan Cemerlang yang diberikan merupakan penghargaan terhadap pegawai perkhidmatan awam yang telah menunjukkan prestasi cemerlang dalam tugas yang diberikan.

Prestasi penjawat awam tersebut perlu meliputi aspek kegiatan dan sumbangan pegawai melalui aktiviti dalam dan luar organisasi.

Penjawat awam tersebut turut dinilai dari segi ciri-ciri kepimpinan, kualiti peribadi selain perakuan daripada ketua jabatan.

Pegawai berkenaan turut dinilai dari aspek kewibawaan, keterampilan dan penglibatan pegawai dalam memberi sumbangan terhadap pembangunan dan kesejahteraan masyarakat. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment