My Add

Friday 20 June 2014

20 selamat, tujuh lagi hilang

Oleh FAZRINA AYU RADUIAN

 * MANGSA bot pancung karam di Beacon Api Gila selamat tiba di jeti Maritim Malaysia, Pelabuhan Klang, semalam. - Utusan/Saharuddin Abdullah
PELABUHAN KLANG, KHAMIS 19 Jun, 2014: Sehari selepas sebuah bot kayu membawa 97 pendatang asing tanpa izin (PATI) Indonesia karam di perairan Sungai Air Hitam, Pulau Carey dekat sini, satu lagi kes melibatkan bot pancung karam dikesan di perairan Sepang dan kali ini melibatkan 27 warga Indonesia.

Bot pancung itu dikatakan karam pada pukul 5 pagi semalam iaitu tidak sampai lima jam selepas kejadian yang pertama di perairan Sungai Air Hitam.

Pihak berkuasa hanya menge-tahui kejadian itu pada pukul 9.07 pagi ini selepas dimaklumkan oleh tiga kapal dagang yang terserempak dengan mangsa yang dipercayai telah terapung lebih 24 jam di laut dengan berpaut pada kayu daripada bot mereka yang pecah dan karam.

Bot tersebut ditemui dalam ke-adaan terbalik kira-kira 10 pagi ini di Beacon Api Gila, Tanjung Sepat di perairan Sepang.

Pengarah Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Kapten Hamid Mohd. Amin berkata, pihaknya berjaya menyelamatkan 20 mangsa termasuk seorang cedera parah di bahagian perut, manakala tujuh lagi sedang dicari dan dikhuatiri lemas.

Beliau berkata, 18 mangsa berjaya diselamatkan pada sebelah pagi sementara dua lagi ditemui lewat petang ini.

"Bot pancung tersebut berlepas dari Morib menuju Tanjung Balai, Indonesia pada pukul 3 pagi semalam dan karam dua jam kemudian.

"Pihak kami telah menemui 20 mangsa iaitu 15 lelaki dan lima perempuan. Sebanyak 18 daripada mereka telah dijumpai oleh tiga kapal dagang iaitu Kapal Lord Visnu, Kapal Wan Hai dan Kapal Morhomen," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Semalam, bot kayu yang membawa 97 PATI Indonesia karam di perairan Sungai Air Hitam dan jarak tempat kejadian dengan kawasan Beacon Api Gila adalah kira-kira 18 kilometer.

Menurut Hamid, saiz bot pancung tersebut hanya boleh membawa muatan sebanyak 10 orang sahaja.

"Kesemua mangsa yang menaiki bot tersebut berhajat pulang ke kampung halaman bersempena dengan bulan Ramadan yang bakal menjelang tidak lama lagi. Ketika ditemui mereka dalam keadaan lemah dan tidak berdaya untuk bercakap," katanya.

Kata Hamid, kesemua mangsa yang masih hidup telah dibawa ke pusat koordinasi Maritim Malaysia kawasan Klang untuk diberikan rawatan dan rehat serta makanan.

"Mangsa yang cedera termasuk dua lagi mangsa yang dalam keadaan lemah dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah untuk mendapatkan rawatan lanjut. Kesemua yang terselamat telah terapung 28 jam di atas laut sebelum diselamatkan oleh kapal dagang tersebut," katanya.

Tambah Hamid, dua hari lalu, keadaan laut bergelora disebabkan faktor angin Sumatera yang dipercayai turut mempengaruhi kejadian ini.

"Kita kini sedang menyiasat sama ada sindiket yang sama terlibat dalam kejadian karam di perairan Sungai Air Hitam, Pulau Carey, Kira-kira 40 anggota Maritim Malaysia telah ditugaskan untuk meneruskan usaha pencarian sembilan lagi mangsa yang hilang," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment