My Add

Friday 20 June 2014

Janakuasa rosak punca gangguan

 Maximus Ongkili, Che Rosli Che Mat
KUALA LUMPUR, KHAMIS 19 Jun, 2014: Gangguan bekalan elektrik yang berlaku di lima buah negeri pada 7 Mei lalu berpunca daripada kerosakan di Stesen Janakuasa Arang Batu Jana Manjung di Perak.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili berkata, dua unit penjanaan di stesen berkenaan terpaksa dihentikan pada 6 Mei lalu berikutan pencemaran asid hidroklorik yang mengambil masa tiga hari untuk dibersihkan.

Katanya, pada masa yang sama, satu unit penjanaan turut dihentikan kerana kerosakan kipas dan jumlah keseluruhan kuasa yang hilang di stesen itu adalah 2,100 Megawatt (MW).

"Pada 6 Mei lalu juga, dua fasiliti gas huluan terpaksa dihentikan dan mengakibatkan kekurangan bekalan gas kepada sektor penjanaan yang akhirnya membawa kesan kehilangan kapasiti di Stesen Janakuasa Tuanku Ja’afar (240 MW) dan Stesen Janakuasa Kapar (430 MW)," katanya menjawab soalan Dr. Che Rosli Che Mat (Pas-Hulu Langat) pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Antara negeri yang mengalami gangguan bekalan elektrik itu adalah Johor, Negeri Sembilan, Melaka, Perak dan Kedah.

Menurut Maximus, pihak Suruhanjaya Tenaga sedang memantau secara terperinci status operasi penyelenggaraan berjadual di setiap unit penjanaan.

"Setiap kerosakan di stesen janakuasa dilaporkan terus kepada Suruhanjaya Tenaga yang akan membuat pemeriksaan dan penilaian bagi mengelakkannya berulang," katanya.

Katanya, bagi tahun 2014, keseluruhan kapasiti terpasang elektrik bagi Semenanjung Malaysia adalah 21,509 MW.

"Kehendak maksimum sistem yang direkodkan setakat bulan Mei 2014 adalah 16,494 MW dan kehendak maksimum ini dijangka meningkat kepada unjuran 17,152 MW menjelang bulan Jun hingga Ogos ini," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment