My Add

Friday, 20 June 2014

376 murid keracunan susu kotak

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR

IPOH, KHAMIS 19 Jun, 2014: Sebanyak 376 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Bersia dekat Gerik terpaksa mendapatkan rawatan di Hospital Gerik setelah mengalami keracunan makanan yang dipercayai berpunca daripada susu kotak yang diedarkan di sekolah itu pagi ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi Nasional dan Kampung Baharu negeri, Datuk Dr. Mah Hang Soon berkata, daripada jumlah tersebut, 178 orang merupakan murid lelaki manakala 198 lagi adalah perempuan.

Katanya, jumlah itu adalah berdasarkan maklumat yang diterima oleh Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Perak daripada hospital berkenaan pada pukul 10 pagi ini.

‘‘Laporan awal menunjukkan sebahagian besar murid mengalami sakit perut, pening, muntah, loya dan cirit-birit. Menurut kebanyakan pelajar, susu yang mereka minum pada mulanya terasa manis tetapi lama kelamaan berasa masam,’’ katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam pada itu, Hang Soon berkata, susu kotak berkenaan diedarkan bermula pukul 7.30 pagi dan tanda-tanda keracunan pertama dikesan pada pukul 8 pagi.

Sehubungan itu, katanya, satu sampel muntah dan enam lagi sampel susu dengan tarikh luput berbeza telah diambil dan dihantar ke makmal untuk dianalisis.

‘‘Punca kejadian masih dalam siasatan dan semua produk susu berkenaan telah disita sehingga keputusan makmal diterima," katanya.

Beliau berkata, pendidikan kesihatan mengenai panduan meminum susu kotak yang betul merangkumi kaedah lihat, hidu dan rasa telah didedahkan kepada murid dan pihak sekolah juga telah diberi maklumat mengenai cara penyimpanan dan pengedaran susu kotak yang betul. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment