My Add

Friday 20 June 2014

Tiga parah, bas langgar 4 kenderaan

 * ANGGOTA Bomba dan Penyelamat memberi bantuan kepada pemandu kereta yang cedera dalam kemalangan di Kilometer 16.1 Lebuh Raya Persekutuan berdekatan Plaza Tol Batu Tiga, Shah Alam, semalam.
SHAH ALAM, KHAMIS 19 Jun, 2014: Tiga orang cedera parah dalam kemalangan membabitkan sebuah bas henti-henti dengan empat kenderaan termasuk sebuah motosikal di Kilometer 16.1 Lebuh Raya Persekutuan berdekatan Plaza Tol Batu Tiga di sini hari ini.

Kejadian berlaku pukul 8.30 pagi ketika bas yang membawa 15 penumpang dari Klang ke Kuala Lumpur itu dikatakan cuba mengelak sebuah kenderaan pada laluan yang sama sebelum terbabas ke laluan bertentangan dan merempuh besi penghadang jalan.

Ketua Bahagian Trafik dan Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Deputi Supritendan Goh Lee Shen berkata, bas berkenaan dipercayai hilang kawalan dan merempuh pembahagi jalan sehingga melanggar tiga kenderaan iaitu masing-masing sebuah Proton Wira, Toyota Camry dan Perodua Myvi yang datang dari arah bertentangan.

Menurutnya, bas itu kemudian merempuh satu lagi besi penghadang jalan di laluan motosikal dan melanggar sebuah motosikal yang sedang melalui laluan berkenaan sebelum terbabas ke kawasan berumput.

"Tiga mangsa mengalami kecederaan ialah penunggang motosikal, pemandu Proton Wira dan seorang penumpang bas," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Goh berkata, kesemua mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, tinjauan di lokasi kejadian mendapati lalu lintas di kedua-dua arah lebuh raya berkenaan mengalami kesesakan teruk sepanjang lebih dua kilometer sehingga kira-kira pukul 11 pagi tadi. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment