My Add

Saturday 21 June 2014

39 terlibat judi Piala Dunia ditahan

Oleh MOHAMAD FAIZAL HASHIM, ZAMZURINA AHMAD dan ASSIM HASSAN

 * MOHD. Mokhtar Mohd. Shariff (tiga dari kanan) menunjukan wang serta barang-barang lain yang dirampas daripada bookie bola sepak dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Johor, Johor Bahru, semalam. - UTUSAN/Baazlan Ibrahim
JOHOR BAHRU, JUMAAT 20 Jun, 2014: Menerusi Ops Soga yang dijalankan sejak kejohanan Piala Dunia 2014 bermula, polis Johor berjaya menahan 31 individu yang dipercayai terlibat dalam kegiatan perjudian bola sepak dengan nilai pertaruhan mencecah RM1.05 juta.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, suspek berusia antara 20 hingga 40-an itu ditahan dalam 105 serbuan.

"Sepanjang Ops Soga, pasukan khas diketuai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Hasnan Hassan turut memeriksa 311 individu.

"Majoriti suspek yang ditahan di sekitar bandar raya ini adalah hasil maklumat awam dan risikan terutama di kawasan awam seperti di restoran serta kafe siber," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), Asisten Komisioner Sulaiman Salleh dan Ketua Polis Daerah Seri Alam, Supritendan Abdul Samad Salleh.

Dalam operasi itu, polis turut merampas pelbagai barangan terdiri daripada sembilan komputer riba, modem (tujuh), komputer tablet, telefon bimbit (30), rekod pertaruhan dan wang tunai berjumlah RM76,470.

Mohd. Mokhtar berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 6 Akta Pertaruhan 1953 (Akta 495) yang jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum sehingga RM200,000 dan juga hukuman penjara tidak melebihi lima tahun.

"Sekiranya terdapat sebarang maklumat mengenai kegiatan pertaruhan atau judi bola sepak, orang ramai boleh menyalurkan maklumat kepada balai polis berhampiran atau Bilik Gerakan Polis Johor 07-221 2999 atau 07-225 4677," katanya.

Di Kuantan, polis menahan lima lelaki tempatan kerana dipercayai menjalankan kegiatan perjudian bola sepak sepanjang kejohanan Piala Dunia 2014 itu, membabitkan pertaruhan mencecah RM100,000.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Mohd. Zakaria Ahmad berkata, lima suspek berusia dalam lingkungan 30-an ditahan di tiga buah daerah iaitu tiga kes di Kuantan manakala satu kes di Kuala Lipis dan Temerloh.

"Tangkapan terbaharu ialah melibatkan seorang lelaki disyaki bookie yang ditahan di sebuah kopitiam di Jalan Air Putih di sini, pukul 1.40 pagi ini, ketika melakukan pertaruhan berjumlah RM30,000.

"Baki tangkapan lain dilakukan semalam dengan kes di Kuala Lipis membabitkan pertaruhan tertinggi setakat ini iaitu RM50,000," katanya di sini hari ini.

Menurut Zakaria, sepanjang operasi dilaksanakan sejak 13 Jun lalu, pihaknya merampas wang tunai bernilai RM1,680, sebuah iPad, sebuah komputer, lima unit telefon bimbit dan dua unit Wifi.

"Polis akan menggiatkan pemantauan kerana yakin bookie ini akan rancak meneruskan kegiatan itu menjelang suku akhir perlawanan nanti," ujarnya yang memberitahu, kesemua yang ditahan itu telah direman.

Di Kota Kinabalu, polis memberkas tiga lelaki tempatan berusia 30-an yang dipercayai bookie perlawanan Piala Dunia 2014 dalam dua serbuan di Inanam di sini semalam, ketika sedang asyik menjalankan aktiviti pertaruhan.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Jauteh Dikun berkata, pihaknya turut merampas wang tunai berjumlah RM4,600 selain beberapa barangan lain termasuk telefon bimbit dan kertas yang digunakan bagi tujuan catatan pertaruhan.

"Dalam tangkapan pertama, kita menahan dua individu dan merampas wang tunai berjumlah RM600 serta telefon bimbit. Dalam tangkapan kedua, selain wang tunai RM4,000 dan beberapa peralatan pertaruhan, seorang suspek turut ditahan.

"Kesemua suspek dan barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu untuk siasatan lanjut," katanya. - JUTUSAN

No comments:

Post a Comment