My Add

Saturday 21 June 2014

Usaha mencari terganggu

KUALA LANGAT, JUMAAT 20 Jun, 2014: Usaha mencari dan menyelamat dalam tragedi tongkang karam di Sungai Air Hitam yang memasuki hari ketiga hari ini, berdepan cuaca buruk sehingga menyebabkan operasi terpaksa dihentikan untuk sementara waktu.

Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Selangor Selatan, Azmi Sadom berkata, operasi pencarian yang membabitkan Unit Anjing Pengesan (K9) dan Unit Skuba turut gagal menemui mangsa baharu, sama ada di laut atau darat.

Katanya, berikutan itu, jumlah mangsa yang masih hilang kekal 20 orang.

Menurut beliau, keadaan laut yang bergelora iaitu berada pada tahap tiga manakala angin pula bertiup kencang pada kelajuan 15 kilometer sejam, menyukarkan operasi dijalankan.

"Operasi dihentikan selama tiga jam bermula daripada pukul 12 tengah hari ini dan disambung selepas itu tetapi hanya tertumpu di bahagian pesisiran pantai di Zon B iaitu dari Kuala Sungai Langat hingga ke Sungai Air Hitam," katanya di sini hari ini.

Dalam kejadian kelmarin, sebuah tongkang yang dinaiki 97 orang pendatang dari Jeti Sungai Judah menuju ke Tanjung Balai, Indonesia, karam di perairan Sungai Air Hitam kira-kira pukul 12.30 tengah malam menyebabkan 14 orang maut, 20 hilang manakala 63 orang lagi dapat diselamatkan.

Mereka yang terselamat terdiri daripada 50 lelaki, 12 wanita dan seorang kanak-kanak perempuan.

Azmi seterusnya berkata, sebanyak 17 buah bot, sebuah kapal dan empat buah helikopter digunakan dalam operasi hari ini. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment