My Add

Thursday 19 June 2014

4 ahli Parlimen Pas bertindak tanpa berbincang

KUALA LUMPUR, RABU 18 Jun, 2014: Pas Selangor menegaskan kenya-taan empat ahli Parlimennya berhubung gesaan kerajaan negeri mengkaji semula enakmen dalam peruntukan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), tidak langsung mewakili pandangan keseluruhan parti.

Pesuruhjaya Pas Selangor, Iskandar Abdul Samad berkata, kenyataan berkenaan telah dikeluarkan tanpa perbincangan parti di peringkat negeri tersebut.

"Penyelesaian di peringkat Exco juga belum selesai. Menteri Besar akan menghadap Sultan Selangor. Sebagai parti kerajaan, kita tidak boleh bertindak bertentangan dengan keputusan-keputusan kerajaan. Pas perlu bersama dengan tindakan tersebut.

"Pas akan mengemukakan pandangan mereka di dalam kerajaan melalui wakil-wakil mereka dalam Exco. Berilah peluang kepada Menteri Besar dan kerajaan ne-geri untuk menyelesaikan kes ini.

"Tidak adil bagi Pas Selangor untuk membuat sebarang komen sekarang. Disiplin dalam kerajaan perlu dipatuhi. Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas di Selangor sedang mematuhi disiplin ini," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Iskandar seterusnya menolak keadaan tidak sepakat di dalam melontarkan pendapat berhubung konflik di antara kerajaan negeri, MAIS dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akibat kegagalan memahami konsep dan dasar yang diambil pimpinan kerajaan negeri.

"Pandangan Pas disalurkan melalui wakil-wakil Pas di dalam kerajaan, iaitu Exco. Sudah tentu pandangan-pandangan itu tidak didedahkan kepada umum kerana kes ini belum selesai," katanya.

Dalam pada itu, Bendahari Pas Selangor, Dr. Ahmad Yunus Hairi pula berkata, pihaknya buat masa ini tidak mendapat maklumat jelas mengenai cadangan berkenaan yang dibuat secara bersama oleh keempat-empat ahli Parlimennya itu.

"Pas Selangor tidak boleh buat keputusan mengenai cadangan itu buat masa ini. Kita kena bincang dahulu di peringkat Pas negeri.

"Kita akan adakan pertemuan dan perbincangan di peringkat kepemimpinan Pas negeri mengenai cadangan itu," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment