My Add

Thursday 19 June 2014

Pengubahan wang haram RM13.1 bilion

KUALA LUMPUR, RABU 18 Jun, 2014:Jumlah amaun hasil aktiviti pengubahan wang haram di Malaysia yang disiasat pihak berkuasa dalam tempoh tiga tahun lalu iaitu dari 2011 hingga 2013 mencecah RM13.1 bilion membabitkan 13,126 kes pelbagai jenis kesalahan jenayah.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan berkata, daripada jumlah amaun berkenaan, sejumlah RM567.9 juta hasil aktiviti pengubahan wang haram disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2011.

Katanya, keadaan itu menyebabkan sebanyak 568 kertas siasatan dibuka iaitu 219 kertas siasatan oleh pihak polis; Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (119); Lembaga Hasil Dalam Negeri (115); Kastam (104); Bank Negara (5) dan Suruhanjaya Sekuriti (1).

"Inilah sebabnya kita ingin memastikan perkara ini (jenayah pengubahan wang haram) diambil tindakan dan kita berniat suci untuk meneruskan pindaan ini," katanya sambil mengakui bahawa angka tersebut adalah kali pertama didedahkan kerajaan.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (Pindaan) 2013, di Dewan Rakyat, hari ini.

Rang undang-undang tersebut kemudiannya diluluskan oleh Dewan Rakyat selepas mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen.

Terdahulu semasa membentangkan rang undang-undang itu, Ahmad berkata, melalui pindaan ke atas akta sedia ada, pihak berkuasa bakal memiliki kuasa lebih luas untuk membeku, menyita atau melucutkan hak harta pihak yang terlibat dalam penggubalan wang haram.

Bagaimanapun jelas beliau, dalam melaksanakan penguatkuasaan itu, sebarang tindakan penyitaan mensyaratkan pihak berkuasa mesti memulakan siasatan ke atas aktiviti haram terlebih dahulu selain perlu mempunyai alasan yang munasabah untuk berbuat demikian.

Selain itu beliau berkata, menerusi pindaan terhadap subseksyen 3 (1) Akta 613, penalti lebih berat akan dikenakan bagi kesalahan penggubalan wang haram melalui takrifan serta peruntukan yang lebih menyeluruh mengenai kesalahan 'pengubahan wang haram'.

Katanya, hukuman ke atas pesalah yang ketika ini iaitu denda RM5 juta atau penjara 5 tahun ditingkatkan kepada penjara 15 tahun atau denda lima kali ganda daripada jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti pengubahan wang haram.

"Memandangkan hampir keseluruhan aktiviti jenayah adalah bermotif dan melibatkan wang, pembanterasan jenayah dengan menyekat perolehan hasil dari kegiatan jenayah adalah salah satu aspek penting bagi mengurang ancaman jenayah di Malaysia.

"Kerangka perundangan yang kukuh dan komprehensif perlu disediakan bagi mewujudkan persekitaran berkesan dalam mencegah kegiatan jenayah yang menyumbang kepada aktiviti pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment