My Add

Thursday 19 June 2014

Pindaan bawa kesan kuasa Sultan

Oleh SOFIAN BAHAROM
 
 Dr. Abdul Aziz Bari
KUALA LUMPUR, RABU 18 Jun, 2014: Desakan beberapa pemimpin Pas Selangor supaya kerajaan negeri itu meminda peruntukan enakmen yang berkaitan bagi mengurangkan kuasa eksekutif Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dilihat bakal membawa kesan secara langsung yang menyentuh kuasa Sultan.

Penganalisis Perlembagaan, Dr. Abdul Aziz Bari berkata, kesan tersebut khususnya pada Perkara 3(2) dan Jadual Ke-8, Seksyen 1(2)(d) Perlembagaan Persekutuan yang mana kuasa Sultan adalah jelas.

Menurutnya, mengikut Perlembagaan, kuasa dalam menjaga kedaulatan agama Islam di Selangor terletak pada Sultan dan MAIS pada hakikatnya sebagai pembantu baginda sahaja.

"Semua akta dan enakmen yang memberi kuasa kepada MAIS atau Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) perlu dibaca dalam kerangka besar ini. Saya faham masalah yang ada sekarang ini di luar bidang kuasa kerajaan negeri, Menteri Besar boleh jumpa Sultan dan memberi pandangan tetapi baginda tidak tertakluk kepada pandangan itu.

"Saya pernah bercakap dengan seorang bekas Exco Selangor yang beranggapan bahawa Sultan mendapat nasihat MAIS. Ini perlu difahami dalam konteks di atas. Ertinya Sultan tidak tertakluk kepada nasihat MAIS kerana MAIS (dan juga JAIS) berada di bawah Sultan selaku Ketua Agama," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Empat pemimpin Pas Selangor semalam mendesak MAIS tidak lagi diberi kuasa dalam menjaga kedaulatan agama Islam di negeri itu dengan meminda enakmen yang selama ini memberi tanggungjawab kepada badan agama berkenaan.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad dilaporkan berkata, kajian semula enakmen itu perlu berikutan tindakan JAIS yang menjatuhkan imej Islam apabila merampas 300 Bible milik Persatuan Bible Malaysia (BSM) pada Januari lalu.

Khalid menegaskan, penghapusan kuasa MAIS itu boleh dilakukan kerana Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor mempunyai suara majoriti dua pertiga dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk memberi sokongan terhadap sebarang pindaan pada enakmen berkaitan.

Mengulas lanjut, kata Abdul Aziz, di United Kingdom (UK) sekalipun, Ratu Elizabeth II mempunyai autonomi dalam peranan baginda sebagai Supreme Governor of the Church of England namun sebaliknya, kerajaan pimpinan Perdana Menteri, David Cameroon hanya boleh memberi pandangan.

Sehubungan itu katanya, penyelesaian kepada masalah berkaitan Bible tersebut adalah menghadap Sultan kerana MAIS tidak mempunyai hak untuk menghalang dan Sultan perlu memberi ruang kepada BSM atau siapa sahaja yang berasa hak mereka telah dinafikan.

"BSM juga boleh membawa isu ini khususnya MAIS, ke mahkamah atas dasar hak kebebasan beragama mereka di bawah Perkara 11(1) Perlembagaan telah dinafikan," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment