My Add

Thursday 19 June 2014

Sasar 25 % akauntan profesional bumiputera

Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA

KUALA LUMPUR, RABU 18 Jun, 2014: Kerajaan menyasarkan untuk meningkatkan jumlah akauntan profesional bumiputera kepada 25 peratus menjelang tahun 2020 berbanding hanya lapan peratus atau 1,554 orang ketika ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, bagi memastikan sasaran tersebut dicapai, kerajaan akan mewujudkan Pusat Akauntan Profesional di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam tempoh terdekat.

Katanya, pusat berkenaan akan menyediakan empat kursus profesional iaitu Institut Akauntan Bertauliah England dan Wales (ICAEW), Persatuan Akauntan Bertauliah (ACCA), Institut Akauntan Pengurusan Bertauliah (CIMA) dan Institut Akauntan Awam Bertauliah Malaysia (MICPA).

"Ketika ini lulusan bumiputera yang memiliki ijazah dalam bidang akauntan agak ramai iaitu 7,663 atau 64 peratus tetapi jumlah yang memperoleh kelayakan sijil profesional masih rendah dan perlu dipertingkatkan.

"Kita akan betulkan keadaan ini dan jumlah bilangan akauntan profesional bumiputera dapat ditingkatkan dalam jangka waktu tertentu," katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Ekonomi Bumiputera di Parlimen hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan beberapa menteri Kabinet.

Dalam pada itu, Najib berkata, kerajaan juga akan mengkaji untuk meminda Akta Akauntan 1967 bagi memberi galakan kepada semua akauntan terutama bumiputera untuk mendapatkan kelayakan sijil profesional.

Selain itu beliau menjelaskan, ketidakseimbangan bayaran gaji antara akauntan yang bekerja di sektor awam dan akauntan profesional juga akan dikaji semula kerana dilihat menjadi salah satu punca kurangnya akauntan profesional bumiputera.

"Sekarang ini dalam kerajaan, mereka yang memiliki ijazah akauntan mendapat gaji lebih tinggi berbanding akauntan profesional. Keadaan ini tidak memberi insentif untuk mereka memperoleh kelayakan profesional," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment