My Add

Monday 9 June 2014

Juruteknik dicekup

Oleh SAYED HESHAM IDRIS

IPOH, AHAD 08 Jun, 2014: Perbuatan seorang juruteknik sebuah syarikat kawalan keselamatan yang dipercayai melarikan wang tunai berjumlah RM235,000 ketika memungut wang itu dari mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dan mesin deposit tunai (CDM) di sekitar bandar raya ini dan Kampar, 3 Jun lalu, akhirnya terbongkar apabila lelaki itu ditahan kelmarin.

Berikutan penahanan suspek berusia 23 tahun dan baru berkhidmat sejak setahun lalu itu, polis berjaya menemui semula sebahagian besar wang berkenaan berjumlah RM210,000 yang disorokkan di sebuah kawasan hutan di Kampung Bunga Tanjung, Malim Nawar, Kampar.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Supritendan Maszely Minhad berkata, dalam kejadian itu, suspek bersama tiga pengawal keselamatan diarah untuk mengutip wang dari ATM dan CDM di dua bandar berkenaan.

"Namun selepas selesai bertugas, pengurus syarikat itu menyedari sebahagian wang pungutan berkenaan hilang. Pengurus itu membuat siasatan dalaman tetapi buntu lalu membuat laporan polis pada keesokannya.

"Pada peringkat awal, tangkapan telah dilakukan terhadap tiga pengawal keselamatan berusia antara 41 dan 47 tahun yang bertugas pada hari kejadian.

"Hasil soal siasat, polis menahan suspek di pejabat syarikat berkenaan di sini pada pukul 6 petang kelmarin dan pukul 9 malam, polis menjumpai semula wang tersebut," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Maszely memberitahu, siasatan pihaknya mendapati suspek yang tidak mempunyai sebarang rekod jenayah itu telah menyorokkan kesemua wang berkenaan di dalam jaketnya tanpa disedari oleh ketiga-tiga pengawal tersebut.

Menurutnya, suspek kini direman sehingga Isnin ini untuk siasatan mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan kerana pecah amanah yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun jika sabit kesalahan.

Beliau berkata, usaha kini giat dijalankan untuk mendapatkan semula baki wang yang dicuri. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment