My Add

Friday 20 June 2014

Abdul Khalid dan MAIS harus patuhi titah Sultan Selangor

KUALA LUMPUR, KHAMIS 19 Jun, 2014: Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) harus mematuhi titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung isu rampasan 351 naskhah Bible di negeri itu.

Timbalan Perdana Menteri berkata, hal demikian kerana undang-undang enakmen dan kuasa agama terletak di bawah bidang kuasa negeri iaitu kuasa Sultan.

"Sultan adalah punca kuasa. Apa sahaja nasihat daripadanya maka pihak yang bertanggungjawab iaitu Menteri Besar dan majlis agama negeri harus patuhi," katanya kepada pemberita selepas majlis penutup Persidangan Antarabangsa Majlis Sains Asia Ke-14 (SCA 14) anjuran Akademi Sains Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas titah Sultan Selangor yang mahu Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) merujuk isu rampasan Bible tersebut kepada pendakwa raya supaya mahkamah boleh menentukan sama ada naskhah itu perlu dikembalikan kepada Persatuan Bible Malaysia (BSM) atau dihapuskan.

Pada 11 Jun lalu, Peguam Negara memutuskan tiada sebarang pendakwaan dibuat berhubung kes rampasan Bible oleh JAIS pada Januari lalu selain menyatakan pandangan bahawa kes itu ditutup.

Dalam isu berlainan, Timbalan Perdana Menteri berkata, pendekatan adil dan saksama harus menjadi keutamaan dalam menyelesaikan isu penentuan agama seseorang anak.

Dalam masa sama katanya, segala keputusan yang dibuat dan akan dibuat pada masa depan perlu bersandar kepada perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Dalam kes suami tukar agama anak yang berlaku di negara ini, jika tiada perbincangan maka akan timbul masalah. Oleh itu, utamakan pendekatan secara adil dan saksama.

"Pendekatan itu mesti diamalkan oleh semua pihak apatah lagi di Malaysia, kita ada banyak kumpulan masyarakat dan agama. Kita tidak mahu sering timbul kekeliruan kelak," katanya.

Beliau diminta mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang mengatakan Perlembagaan Persekutuan membenarkan ibu bapa menentukan agama anak-anak yang berumur di bawah 18 tahun.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri dalam ucapannya mahu kerajaan dan ahli-ahli sains tempatan melestarikan perubahan pembangunan mengikut muka bumi yang selamat dengan mengambil langkah jimat cermat. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment