My Add

Friday 20 June 2014

Brunei berminat pelajari cara SPRM perangi rasuah

 * ABU Kassim Mohamad (kanan) menghadiahkan Muhammad Juanda A. Rashid buku Transformasi SPRM pada Mesyuarat Kerjasama Dua Hala SPRM dan BMR Kali Ke-10 di Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR, KHAMIS 19 Jun, 2014: Biro Mencegah Rasuah (BMR) Brunei berminat mempelajari secara mendalam Teknik Pengurusan Penyiasatan Berpasukan (MTI) yang dipraktikkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi meningkatkan keberkesanan usaha memerangi rasuah.

Pengarah BMR, Datuk Paduka Muhammad Juanda A. Rashid berkata, MTI yang merupakan antara inisiatif program transformasi SPRM itu telah mencapai satu tahap kematangan untuk dipelajari bagi menangani kes-kes rasuah.

"Kaedah ini lebih menyeluruh dan terarah kerana melibatkan sistem kawalan dan pemantauan harian," katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Kerjasama Dua Hala SPRM dan BMR Kali Ke-10 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamad.

MTI merupakan salah satu daripada lebih 20 inisiatif diperkenalkan oleh SPRM menerusi program transformasi yang diperkenalkan lebih tiga tahun lalu.

Muhammad Juanda berkata, BMR juga akan bekerjasama dengan SPRM bagi mendekati rakyat dalam usaha meningkatkan kesedaran antirasuah dan integriti khususnya dalam kalangan lulusan institusi pengajian tinggi yang bakal menceburi dunia pekerjaan.

Katanya, pihaknya ingin mempelajari pendekatan yang digunakan untuk meningkatkan integriti masyarakat terutama golongan belia.

Dalam pada itu, beliau berkata, hasil kerjasama badan pencegah rasuah kedua-dua negara itu telah dapat mengatasi aktiviti penyeludupan diesel bersubsidi dan kemasukan pendatang haram ke Brunei.

"Ekoran operasi bersama yang komprehensif pada 2009, seramai 15 pegawai kastam Brunei yang terlibat dalam pengangkutan diesel bersubsidi ke luar Brunei telah ditahan bersama dua penyeludup haram dari Sabah dan Sarawak.

"Sehingga hari ini, kes penyeludupan diesel ke luar Brunei amat rendah disebabkan tahap keyakinan yang telah dibina bersama SPRM. Melalui siasatan bersama SPRM, BMR juga berjaya mengesan dan melumpuhkan sindiket menyeludup pendatang haram," katanya.

Sementara itu Abu Kassim berkata, SPRM dan BMR sentiasa bekerjasama rapat terutama dalam aktiviti-aktiviti berbentuk pencegahan, operasi siasatan dan pendidikan masyarakat.

Katanya, kerjasama yang terjalin antara SPRM dan BMR telah diiktiraf seperti dalam Laporan Penilaian Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Berkenaan Dadah dan Jenayah (UNODC) ke atas Malaysia berhubung pematuhan Konvensyen PBB Bagi Pencegahan Rasuah (UNCAC).

Kedua-dua badan itu mula bekerjasama sebaik sahaja Mesyuarat Tahunan Kerjasama Dua Hala yang pertama diadakan pada Julai 2002. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment