My Add

Wednesday, 18 June 2014

Ahli keluarga wanita dihukum gantung belasah jurugambar Utusan

KOTA BHARU, RABU 18 Jun, 2014: Seorang jurugambar Utusan Malaysia cedera dipukul dua lelaki dipercayai ahli keluarga seorang wanita yang dihukum gantung sampai mati di Mahkamah Tinggi, di sini hari ini.

Ketika kejadian yang berlaku kira-kira 10.45 pagi ini, jurugambar terbabit sedang mengambil gambar tertuduh namun dua suspek berkenaan bertindak menyerangnya.

Kamera mangsa turut pecah dihempas oleh salah seorang suspek.

Terdahulu seorang tukang jahit wanita dihukum gantung sampai mati di Mahkamah Tinggi selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis heroin seberat 54.72 gram, tahun lalu.

Hakim Datuk Azman Abdullah menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh Zaruna Yusof, 43, gagal menimbulkan keraguan munasabah.

Mengikut pertuduhan, Zaruna didakwa mengedar heroin seberat 54.72 gram di tempat letak kereta Stadium Sultan Muhammad IV, Jalan Bayam, di sini pada pukul 1.35 petang , 21 Januari 2013.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(b) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati. - UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment