My Add

Thursday 5 June 2014

Akta Hasutan 1948 perlu penambahbaikan

KUALA LUMPUR, RABU 04 Jun, 2014: Satu peruntukan khusus bagi melarang perbuatan menghina raja-raja Melayu di dunia siber perlu diserapkan dalam Akta Hasutan 1948 bagi mengekang perbuatan yang menghalalkan fitnah, tohmahan serta pelbagai bentuk hasutan.

Menurut Pensyarah Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Mohamad Faisol Keling, langkah tersebut wajar bagi membantu kelancaran menguruskan undang-undang negara berkaitan institusi beraja dan beradat.

Jelasnya, undang-undang sedia ada sudah memadai namun pada masa sama terdapat keperluan untuk menambah baik undang-undang tersebut dalam memastikannya tetap relevan dan dipatuhi oleh masyarakat termasuk memperketatkan peraturan berkenaan agar institusi beraja tetap dilindungi.

Katanya, sekiranya langkah tersebut tidak dilaksanakan, dikhuatiri bukan sahaja menggugat peranan raja sebagai payung negara sebaliknya masyarakat turut hilang penghormatan terhadap raja malah akan menghancurkan institusi kekeluargaan, masyarakat dan negara.



“Berdasarkan perkembangan teknologi di dunia siber yang pantas, para penggubal undang-undang perlu peka terhadap perubahan agar peraturan yang dilaksanakan itu seiring dengan pembangunan negara kerana sekiranya gagal mengejar 'kepantasan' tersebut dikhuatiri akan timbulnya kesan negatif terhadap rasa hormat masyarakat kepada raja," katanya.

Beliau mengulas kenyataan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Musa Awang berkaitan cadangan mewujudkan satu undang-undang khusus bagi menghukum mereka yang didapati menghina serta mempertikaikan institusi beraja dan beradat di negara ini.

Sebelum ini pengendali laman blog http://siemensmelayumaju.blogspot.com dan http://cenangau.blogspot.com didakwa menghina Almarhum Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

Tambah Mohamad Faisol, menjadi peranan kerajaan untuk mendidik rakyat agar patuh pada undang-undang selain memastikan penguatkuasaan undang-undang tersebut dilaksanakan dalam sistem kehakiman negara.

“Rakyat perlu disedarkan mengenai kepentingan perundangan. Rakyat sekarang semakin lupa bahawa hidup perlu berdasarkan undang-undang, keadaan ini mungkin terjadi kerana kelemahan dalam pelaksanaan atau penguatkuasaan sehingga menyebabkan rakyat berani melawan peraturan.

“Kerana itu perlu bermulanya era baharu dalam sistem perundangan agar rakyat kembali patuh serta yakin dengan sistem perundangan negara," ujarnya.

Katanya, dalam memastikan perkara itu berjaya, masyarakat perlu dididik pada peringkat awal pendidikan lagi dengan menerapkan aspek nilai-nilai murni dalam perundangan pada mata pelajaran Sejarah.

“Kita menyedari sukar untuk mengubah minda masyarakat dewasa, kerana itu didikan awal amat diperlukan dalam meningkatkan kesedaran tersebut," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment