My Add

Monday 16 June 2014

Anggota PGA tembak diri selepas bunuh pengawal

 * PASUKAN polis memeriksa lokasi penemuan mayat anggota PGA dan pengawal keselamatan di tapak pembinaan di Batu 4 Sandakan, dekat Kota Kinabalu, Sabah, semalam.
KOTA KINABALU, AHAD 15 Jun, 2014: Akibat perselisihan faham, seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) dipercayai bertindak menembak diri sendiri selepas membunuh seorang pengawal keselamatan di sebuah tapak pembinaan perumahan di Casa San Uno, Batu 4 Sandakan dekat sini hari ini.

Anggota PGA berpangkat Koperal berusia 40 tahun dan pengawal keselamatan terbabit, 65 tahun ditemui orang awam di tapak pembinaan itu kira-kira pukul 11.30 pagi sebaik sahaja terdengar bunyi tembakan.

Difahamkan, anggota PGA itu dipercayai menjalinkan hubungan sulit dengan anak saudara pengawal keselamatan tersebut hingga menimbulkan perasaan kurang senang dalam kalangan ahli keluarga mereka.

Dua minggu lalu, kedua-dua mangsa dikatakan telah bertemu bagi membincangkan masalah tersebut namun gagal menemui jalan penyelesaian.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sandakan, Supritendan Fadzil Mohd. Ali berkata, pihaknya menerima laporan mengenai penemuan dua mayat itu daripada orang awam.

Beliau berkata, ketika kejadian, anggota PGA yang tidak bertugas datang ke tapak pembinaan tersebut dengan memakai pakaian biasa dan membawa pistol.

"Polis masih menyiasat kemungkinan berlaku pergelutan antara mereka sebelum lelaki (pengawal keselamatan) itu merampas pistol milik anggota PGA tersebut dan melepaskan tembakan.

"Namun, semua kemungkinan ini masih dalam siasatan termasuk tujuan anggota PGA berkenaan pergi ke tapak pembinaan dengan membawa pistol," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini.

Fadzil memberitahu, pemeriksaan pihaknya mendapati kedua-dua mayat mangsa mengalami kecederaan di kepala serta bahu dan ditemui terbaring berhampiran pagar masuk utama ke tapak pembinaan itu.

Menurutnya, turut ditemui sepucuk pistol berhampiran mayat anggota PGA tersebut.

"Kedua-dua mayat dihantar ke Hospital Duchess of Kent untuk bedah siasat," jelasnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment