My Add

Monday 9 June 2014

Bekalan minyak masak masih berkurangan

KOTA BHARU, AHAD 08 Jun, 2014: Jika bandar Sungai Golok, Thailand yang terletak bersempadan dengan negeri ini dilimpahi dengan minyak masak bersubsidi dari Malaysia namun keadaan sebaliknya berlaku di sini.

Tinjauan Utusan Malaysia di beberapa lokasi di bandar ini terutama di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong mendapati bekalan bahan keperluan itu amat sukar untuk diperoleh.

Rata-rata pengguna yang ditemui merungut mengenai masalah tersebut dan mendesak kerajaan mengambil tindakan secepat mungkin apatah lagi Ramadan bakal menjelma tidak lama lagi.

Malah mereka juga mengakui ada di antara peniaga yang mengambil kesempatan dengan menaikkan harga minyak masak peket sekilogram sehingga RM3.20.

Seorang suri rumah, Zaharah Berahim, 55, berkata, minyak masak semakin sukar diperoleh di kedai-kedai mahupun pasar raya.

"Harga minyak masak peket juga meningkat iaitu daripada RM2.60 kepada RM2.90 bagi satu kilogram. Buat masa sekarang, saya hanya dapat membeli hanya dua peket minyak masak sahaja di setiap kedai.

"Permintaan minyak masak ini semakin tinggi terutamanya menjelang bulan puasa dan musim perayaan dan saya berharap masalah berkenaan dapat ditangani dengan segera," katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Seorang suri rumah, Wan Azizah Wan Ahmad, 57, memberitahu, masalah kekurangan minyak berlaku sejak dua minggu yang lalu dan setiap keluarga hanya dibenarkan membeli satu atau dua peket minyak dari pasar raya.

"Saya perlu pergi membeli minyak di beberapa buah kedai memandangkan mereka (peniaga) menghadkan pembelian bahan keperluan itu. Keadaan ini menyukarkan saya," ujarnya.

Sementara itu, seorang peruncit, Mohammad Amin, 38, berkata, orang ramai merungut apabila mereka hanya dibenarkan membeli dua peket minyak.

"Pembekal kata barang tak ada, jadi kami tidak boleh buat apa-apa selain terpaksa mengehadkan jualan minyak masak kepada setiap pelanggan agar orang lain juga mendapatkan bekalan.

"Sedangkan sebagai peniaga, saya memerlukan kuantiti minyak masak yang banyak untuk memastikan perniagaan tidak terjejas," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment