My Add

Monday 9 June 2014

Pertimbang suara rakyat - Chandra Muzaffar

KUALA LUMPUR, AHAD 08 Jun, 2014: Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan 1Malaysia, Dr. Chandra Muzaffar berharap kerajaan negeri Johor mengambil kira kesemua input yang telah diberikan oleh pelbagai pihak sebelum membentangkan rang undang-undang untuk menubuhkan Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) esok.

Beliau berkata, perkara itu merupakan langkah paling demokratik yang boleh dilakukan kerajaan negeri ketika ini.

Jelasnya, dalam isu tersebut, banyak pihak termasuk badan guaman, tokoh perniagaan, bekas Perdana Menteri serta aktivis sosial telah menyuarakan kebimbangan masing-masing dan Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin wajar mempertimbangkan pendapat mereka.

"Rang undang-undang ini jelas bertentangan dengan sistem Raja Berperlembagaan yang diamalkan di negara ini. Saya teguh dengan pendirian bahawa cadangan ini bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

"Saya difahamkan Menteri Besar akan membuat pindaan semasa terhadap rang undang-undang tersebut sebelum dibentangkan tetapi ia tidak jelas. Kita tunggu bagaimana pindaan itu dibuat kelak," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Mohamed Khaled bahawa rang undang-undang tersebut akan terdapat pindaan fasal khususnya peruntukan yang menyentuh peranan raja.

Menurutnya, pindaan dilakukan selepas pihak berkuasa negeri mengambil kira reaksi pelbagai pihak selain mahu memelihara sistem Raja Perlembagaan yang diamalkan selama ini.

Mengulas lanjut, Chandra menjelaskan, Mohamed Khaled sebagai seorang Menteri Besar yang dipilih oleh rakyat perlu mendengar suara rakyat dalam hal berkenaan.

"Jika segala input kita didengari kerajaan negeri, saya yakin ia adalah satu trend yang sihat dalam budaya demokrasi negara ini iaitu semua pihak boleh menyuarakan pendapat masing-masing dan pendapat itu dipertimbangkan ke arah kebaikan," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment