My Add

Tuesday 3 June 2014

Stesen minyak di sempadan perlu terus dipantau - NGO

KUALA LUMPUR, ISNIN 02 Jun, 2014: Langkah kerajaan mengehadkan penjualan diesel dan petrol bersubsidi di setiap stesen minyak di sempadan Kelantan-Thailand kepada 600,000 liter sebulan bermula semalam merupakan satu keputusan bijak namun perlu disusuli dengan pemantauan yang berterusan.

Pengerusi Badan Bertindak Anti Penyelewengan Negeri Kedah, Khairul Anuar Ramli (gambar) berkata, langkah itu perlu disertakan dengan pemantauan bagi mengelak penyelewengan bahan api tersebut terus berlaku dalam kalangan pengusaha stesen minyak.

"Tindakan mengehadkan penjualan diesel dan petrol di stesen minyak di sempadan dapat mengurangkan kes penyeludupan bahan api tersebut namun pemantauan berterusan perlu dibuat kerana tidak dinafikan segelintir pengusaha stesen minyak menjadi antara penyumbang kegiatan ini.

"Saya juga mencadangkan tindakan tegas diambil terhadap mana-mana pengusaha stesen minyak yang terlibat termasuk membatalkan lesen mereka kerana pelanggaran undang-undang seperti inilah yang akan menggagalkan usaha kerajaan membanteras penyelewengan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kelmarin, Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Alias Ahmad mengumumkan langkah kerajaan mengehadkan penjualan diesel dan petrol di setiap stesen minyak di sempadan Kelantan-Thailand kepada 600,00 liter sebulan berkuat kuasa semalam.

Langkah itu menurut Alias diambil bagi membendung kegiatan penyeludupan bahan api bersubsidi yang semakin aktif di sempadan negara.

Sementara itu Presiden Persatuan Pengguna Selangor dan Wilayah Persekutuan, Mohd. Yusof Abdul Rahman berkata, pemantauan yang berterusan akan menyebabkan pemilik stesen minyak 'gentar' untuk melakukan penyelewengan.

"Mengehadkan penjualan bahan api tersebut di setiap stesen minyak di sempadan perlu diperkukuhkan dengan penguatkuasaan dan pemantauan di setiap stesen minyak bagi memastikan peraturan dipatuhi.

"Menerusi langkah ini, tindakan kerajaan yang akan memperkenalkan sistem baharu penjualan diesel dan petrol bersubsidi akan mendatangkan hasil yang positif serta dapat mengurangkan kadar penyelewengan bahan api tersebut," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment