My Add

Tuesday 17 June 2014

Bekas akauntan didakwa

Oleh UMAVATHI RAMAYAH

PETALING JAYA, ISNIN 16 Jun, 2014: Bekas akauntan pengurusan majlis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas enam pertuduhan pecah amanah melibatkan kerugian RM170,800 tahun lalu.

Zafisasrul Burham @ Borhan, 36, sebagai akauntan syarikat Memories Showcase Sdn. Bhd. ketika kejadian didakwa dengan curangnya mengambil wang majikan untuk tujuan pembayaran kepada pembekal syarikat dalam enam transaksi berasingan melalui enam keping cek bernilai RM35,000, RM31,200, RM33,600, RM21,000, RM35,000 dan RM15,000.

Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di No. 73, Jalan Penchala, di sini antara 4 September 2013 dan 13 Disember 2013.

Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aishah Ahmad Zakiuddin mengemukakan pertuduhan itu mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang mana seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan dengan sebat serta boleh dikenakan denda.

Hakim Zamri Bakar membenarkan tertuduh yang diwakili peguam Jayananda Rao untuk diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan 5 Ogos ini bagi sebutan semula kes tersebut. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment