My Add

Tuesday 17 June 2014

Polis, kerajaan gagal dapat kebenaran merayu

PUTRAJAYA, ISNIN 16 Jun, 2014: Polis dan kerajaan gagal dalam cubaan terakhirnya untuk mengetepikan keputusan dua mahkamah terdahulu yang mendapati penangkapan lima peguam hak asasi manusia dan seorang aktivis yang menyertai acara jalan kaki sempena sambutan Hari Hak Asasi Manusia Sedunia di ibu negara pada 2007, menyalahi undang-undang.

Perkara itu berikutan keputusan panel lima hakim Mahkamah Persekutuan diketuai oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md. Raus Sharif menolak permohonan pihak polis dan kerajaan bagi mendapat kebenaran merayu.

Beliau yang bersidang bersama Tan Sri Zaleha Zahari, Datuk Zainun Ali, Tan Sri Jeffrey Tan Kok Wha dan Datuk Ramly Ali tidak memerintahkan kos dibayar kerana kes itu merupakan kes kepentingan awam.

Oleh yang demikian, keputusan Mahkamah Rayuan pada 20 Januari lalu yang menolak rayuan polis dan kerajaan, kekal.

Pemohon-pemohon terdiri dari-pada Timbalan Ketua Polis Dang Wangi ketika itu, Supritendan Che Hamzah Che Ismail, Ketua Polis Negara, Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan.

Responden-responden ialah R. Sivarasa, N.Surendran, Latheefa Beebi Koya, Eric Paulsen, Amer Hamzah Arshad dan aktivis Johny Andu @ Abu Bakar Adnan.

Peguam Kanan Persekutuan, Mohamad Abazafree Mohd. Abbas mengetuai permohonan pihak kerajaan manakala peguam Datuk Sulaiman Abdullah mengetuai pihak responden.

Pemohon-pemohon memohon kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak rayuan mereka untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang mendapati penangkapan kelima-lima mereka, melanggar undang-undang.

Polis dan kerajaan merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan demikian serta memerintahkan ganti rugi am RM10,000 dibayar kepada setiap responden dan kos guaman RM60,000 dijelaskan.

Pada 10 Disember 2007, enam individu itu dikenakan pertuduhan berhimpun secara haram iaitu sehari sebelumnya di hadapan bangunan Kamdar di Jalan Tuanku Abdul Rahman di ibu negara dan tidak mematuhi perintah polis supaya bersurai. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment