My Add

Tuesday 17 June 2014

Pemilik, pekerja ikan dalam sangkar diculik

KOTA KINABALU, ISNIN 16 Jun, 2014: Selepas 17 hari kejayaan menyelamatkan dua wanita yang culik pada awal April lalu, hari ini, satu lagi kejadian sama berlaku di pusat ternakan ikan dalam sangkar, di Kampung Air Sapang, Kunak dekat sini tengah malam tadi.

Dalam kejadian pada pukul 12.40 tengah malam itu, mangsa Chan Sai Chiun, 32 yang merupakan pemilik sangkar ikan bersama seorang pekerjanya dikenali sebagai Mazlan 20-an dilarikan sekumpulan penculik yang membawa senjata panjang menyerupai senapang M-16.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Omar Mamah berkata, ketika kejadian, Sai Chiun dan isterinya sedang tidur di bilik di pusat ternakan itu dan tiba-tiba terbangun apabila terdengar bunyi bising di luar biliknya selain salakan anjing peliharaan mereka.

Katanya, sebaik sahaja meninjau keluar bilik, mangsa dan isterinya, Chin Pek Nyuen, 42 ternampak dua lelaki berpakaian gelap dan bersenjata panjang sebelum suspek mengacukan senjata ke arah Sai Chiun serta menariknya bersama mereka.

"Isteri mangsa yang terkejut dengan kejadian itu bertindak melarikan diri ke dalam bilik lain untuk mengejutkan salah seorang rakan niaga mangsa yang sedang tidur.

"Ketika kejadian terdapat tujuh individu termasuk mangsa dan isterinya, anak buah mereka berusia dua tahun, salah seorang rakan kongsi dan tiga pekerja termasuk Mazlan," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Pada 30 Mei lalu, dua wanita, seorang pelajar warga China, Gao Hua Yuan, 29 dan Marcy Dayawan, 40, berjaya diselamatkan pasukan keselamatan selepas diculik di Singamata Resort, Semporna pada 2 April lalu.

Sebulan selepas kejadian itu, seorang ahli perniagaan Yang Zai Lin, 34, diculik di sebuah pusat ternakan ikan dalam sangkar di Pulau Baik, Lahad Datu, dekat sini.

Beliau berkata, salah seorang rakan mangsa yang dikenali sebagai Ku bertindak menghubungi pihak polis sebaik mendapati Sai Chiun dan Mazlan dilarikan penculik dalam tempoh kurang lima minit.

Dalam pada itu, Omar memberitahu, siasatan awal mendapati suspek terdiri daripada kumpulan menculik untuk tebusan (KFR) yang terdiri daripada empat orang; dua daripada mereka naik ke rumah manakala dua lagi dipercayai menunggu di bot.

Katanya, pihaknya percaya suspek menghampiri kawasan pusat ternakan ikan itu dengan mendayung bot jenis Fiber dengan kekuatan enjin 15 kuasa kuda kerana tiada sebarang bunyi enjin didengari ketika pendaratan mereka.

Difahamkan, suspek menggunakan bot enjin berkuasa rendah sebelum menukar kepada bot dengan kelajuan 200 kuasa kuda di kawasan lain dan menuju ke Selatan Filipina.

"Siasatan awal juga mendapati mangsa dan isterinya berasal dari Ipoh, Perak dan baru membuka pusat ternakan ikan dalam sangkar bersama dua lagi rakan kongsi mereka pada April lalu," katanya.

Beliau memaklumkan, pusat ternakan itu tidak mempunyai pengawal keselamatan terlatih sebaliknya mengupah tiga pekerja dipercayai warga asing termasuk Mazlan untuk menjaga dan bekerja di premis mereka.

Tambahnya, polis sedang menjalankan siasatan menyeluruh mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4 Akta Senjata Api 1960 termasuk menyiasat bagaimana serta bila Mazlan dilarikan bersama-sama dengan Sai Chiun pada insiden itu.

Pusat ternakan ikan dalam sangkar tersebut hampir dengan Pulau Sitangkai, Selatan Filipina dan hanya mengambil masa kira-kira 40 minit perjalanan menggunakan bot laju.

Manakala jarak pusat ternakan itu dengan Pekan Kunak adalah 10 kilometer.

Dalam pada itu, terdapat khabar angin mengatakan yang Mazlan berjaya membebaskan diri daripada kumpulan penculik tetapi pihak polis menafikan perkara itu. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment