My Add

Friday 13 June 2014

Berkhidmat dengan penuh integriti - KSN

Oleh THOMAS CHONG

PUTRAJAYA, KHAMIS 12 Jun, 2014: Semua penjawat awam diminta berkhidmat dengan penuh integriti, jujur, berdedikasi dan amanah walau di mana mereka berada kerana integriti yang tinggi merupakan asas atau tunjang utama kepada kelangsungan kejayaan dan kemakmuran negara.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa berkata, penjawat awam pada masa yang sama harus menjadi agen transformasi yang berkesan iaitu sebagai penyampai maklumat yang sahih, jelas, tepat dan mudah difahami rakyat.

Malah beliau turut mengingatkan kepada setiap penjawat awam supaya tidak lupa mengenai tanggungjawab dan amanah yang mereka pikul selama mereka berada di dalam perkhidmatan kerajaan.

"Jangan kita sesekali lupa tentang ama­nah besar yang telah dipertanggungjawabkan kepada kita sebagai penjawat awam dan jangan kita mengecewakan harapan rakyat,’’ katanya ketika berucap dalam majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Jabatan Perdana Menteri (JPM) 2013 yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Dalam majlis tersebut, sebanyak 1,747 warga cemerlang JPM telah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang di dalam majlis yang dibahagikan kepada dua sesi, masing-masing disempurnakan oleh Ali pada sesi pagi dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal pada sesi petang.

JPM turut memberi Sijil Penghargaan kepada 15 orang pegawai bukan berjawatan tetap termasuk pekerja sambilan harian dan pegawai skim perkhidmatan singkat yang menunjukkan kecemerlangan dan komitmen tinggi dalam perkhidmatan awam sepanjang 2013.

Ali berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri ketika perhimpunan Hari Pekerja Perkhidmatan Awam pada 1 Mei lalu menegaskan bahawa penjawat awam diumpamakan sebagai ‘tiang seri negara’.

Sehubungan itu sebagai ‘tiang seri negara’ yang sentiasa menjadi harapan rakyat beliau berkata, kualiti perkhidmatan penjawat awam seharusnya selari dengan era kepantasan masa selain berusaha melengkapkan diri dengan ilmu, kemahiran dan kebolehan tertentu.

Malah katanya terdapat lima prinsip yang wajar dipegang oleh penjawat awam sepanjang mereka menjalankan tugas seharian mereka iaitu;

* membudayakan ilmu

* mempamerkan sikap kebolehkepercayaan dan keperibadian integriti yang tinggi

* mempraktikkan amalan-amalan terbaik

* menanam semangat patriotisme

* memberi penekanan dari segi keberhasilan

"Saya percaya warga JPM boleh mempraktikkan saranan Perdana Menteri kita dengan menunjukkan prestasi kerja yang berkualiti dan sentiasa menambah baik mutu perkhidmatan yang disampaikan,’’ ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan ujarnya, warga JPM juga jangan sesekali lupa dengan konsep ‘Merakyatkan Perkhidmatan Awam’ dalam usaha melahirkan penjawat awam yang sentiasa prihatin kepada keperluan rakyat dan sentiasa terbuka kepada maklum balas.

Beliau turut menyentuh peranan penjawat awam sebagai ‘tulang belakang’ kepada pembangunan negara, oleh itu segala usaha yang dilaksanakan dalam tugas harian menyumbang kepada kemajuan negara.

"Sebagai contoh prestasi Program Transformasi Kerajaan atau GTP seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri pada 12 Mei lalu adalah sesuatu yang boleh dibanggakan oleh penjawat awam,’’ katanya.

Beliau berkata, di dalam pengumuman itu ketujuh-tujuh bidang keberhasilan utama atau NKRA telah melebihi sasaran pencapaian iaitu 104 peratus.

Begitu juga katanya, laporan World Competitiveness Yearbook yang diterbitkan pada 22 Mei 2014 pula telah melaporkan bahawa daya saing Malaysia di peringkat antarabangsa meningkat ke kedudukan ke 12 daripada kedudukan 15 pada tahun sebe­lumnya.

"Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku tahun pertama 2014 pula telah mencapai 6.2 peratus iaitu pertumbuhan paling pantas dalam tempoh lima sukuan sekali gus menandakan permulaan baik untuk mencapai sasaran pertumbuhan 5.5 peratus bagi keseluruhan tahun ini,’’ katanya.

Kata beliau lagi, segala pencapaian itu adalah hasil titik peluh seluruh warga kerja perkhidmatan awam yang bermula daripada penggubalan dasar-dasar yang bersesuaian untuk membangunkan negara.

"Seterusnya memastikan dasar-dasar itu dilaksanakan dengan sempurna, mengikut perancangan dan berintegriti, telus serta bertanggungjawab,’’ ujarnya.

Berhubung mengenai kebajikan beliau berkata, kerajaan akan melaksanakan kajian terperinci bagi menawarkan peluang kemajuan kerjaya bagi skim tertutup.

"Bagi mengatasi masalah rumah pula, Skim Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) telah diperkenalkan tahun lepas yang mana harga ditawarkan 30 peratus lebih rendah daripada harga pasaran,’’ kata Ketua Setiausaha Negara itu.

Menyentuh mengenai majlis anugerah hari ini, Ali berkata, kerajaan sentiasa komited dalam mengiktiraf budaya kerja cemerlang.

"Melalui pemberian anugerah ini saya berharap ia dapat menggalakkan pegawai dan kakitangan memberikan sepenuh perhatian dan daya usaha untuk mempertingkatkan produktiviti dan mutu kerja yang berkualiti tinggi sekali gus menjadikan perkhidmatan kerajaan kekal diyakini rak­yat,’’ katanya.

Sementara itu beliau juga mengingatkan kepada semua ketua jabatan di JPM supaya mengadakan hanya satu majlis seumpama itu dan bukannya secara berasingan mengikut jabatan serta agensi.

"Bagi tahun-tahun akan datang, saya ingin mengingatkan kepada semua ketua jabatan di JPM supaya mengadakan hanya satu majlis penganugerahan sahaja bagi memastikan penjimatan kos selain mendukung Strategi Lautan Biru Kebangsaan," katanya lagi. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment