My Add

Friday 13 June 2014

JAIS serbu gerai makanan Indonesia

 * PEGAWAI JAIS melakukan pemeriksaan di sebuah premis makanan di pusat beli-belah di Kuching, Sarawak, semalam.
KUCHING, KHAMIS 12 Jun, 2014: Tidak sampai 24 jam tersebar beberapa keping gambar menunjukkan ‘kaki babi’ yang didakwa digunakan untuk membuat sup dalam makanan Indonesia yang dijual di sebuah medan selera di pusat beli-belah di sini, Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) bertindak menyerbu dan memeriksa premis makanan itu hari ini.

Gambar menunjukkan ‘kaki babi’ dalam satu mangkuk dan sebelanga sup itu telah dimuat naik ke laman sosial Facebook dipercayai milik seorang pelanggan pada awal pagi ini sebelum dikongsi dan disebar meluas oleh pengguna internet lain termasuk penulis-penulis blog tempatan di negeri ini.

Ekoran kebimbangan itu, sekumpulan pegawai penguatkuasa JAIS diketuai Pegawai Hal Ehwal Islamnya, Mohammad Zarin Bolhasan bersama Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) negeri bertindak menyerbu dan memeriksa gerai yang didakwa menjual ‘sup kaki babi’ itu pada pukul 3 petang ini.

Dalam serbuan itu, pemilik gerai merupakan warga Indonesia iaitu Niluh Ayu Ari Mulyandari, 34, dan suaminya, Chan Chze Jit, 34, rakyat tempatan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa.

Ketika ditemui pemberita, Niluh Ayu mengakui berasa terkejut dengan serbuan itu dan mendakwa hanya mengetahui tersebarnya gambar mengenai sup di kedainya pada pagi ini.

"Saya rasa tidak ada apa-apa (khinzir) dalam makanan yang dimasak, tidak seperti yang dikatakan dan percaya perkara sebenar akan terungkap.

"Walaupun tiada sijil halal, kami mematuhi peraturan yang digariskan oleh pihak pengurusan medan selera ini bahawa makanan yang dijual tidak boleh mengandungi khinzir," jelasnya.

Sementara itu, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) negeri, Datuk Ir. Daud Abdul Rahman ketika dihubungi berkata, pihaknya akan menjelaskan tentang perkara itu dalam sidang akhbar selepas mendapat laporan penuh daripada pemeriksaan yang dibuat hari ini.

Beliau turut memaklumkan bahawa medan selera di pusat beli-belah itu tidak pernah memohon sijil halal sebelum ini.

"Sebelum ini, sudah beberapa kali disarankan agar umat Islam tidak pergi ke kedai makan yang tidak mempunyai sijil halal," katanya.

"Namun, kita percaya apabila umat Islam membuat laporan, premis makanan tanpa sijil halal ini akan memohon sijil selepas ini kerana sedar kebanyakan pelanggan mereka beragama Islam," ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment