My Add

Saturday 14 June 2014

BN Selangor benarkan Pas laksana hudud

 MOHD. Shamsudin
KUALA SELANGOR, JUMAAT 13 Jun, 2014: Wakil-wakil rakyat Barisan Nasional (BN) Selangor hari ini bersetuju menarik semula usul meminta kerajaan negeri mengkaji kebarangkalian pelaksanaan hudud di negeri ini yang sepatutnya dibentangkan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Isnin ini.

Penarikan balik usul itu menurut Ketua Pembangkang DUN negeri, Datuk Mohd. Shamsudin Lias dibuat bagi memberi peluang kepada 15 wakil rakyat daripada Pas negeri mengemukakan sendiri usul berkaitan hukum hudud di Selangor yang merupakan antara agenda serta matlamat besar dalam perjuangan parti itu selama ini.

Selain menjadi dasar perjuangan Pas, beliau melihat isu hudud juga menjadi bahan kempen yang sering dilaung-laungkan oleh parti itu terutamanya ketika pilihan raya.

"Justeru, dalam perbincangan dengan wakil-wakil rakyat BN semalam, kita putuskan untuk menarik balik usul berkenaan yang sepatutnya dibentangkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Air Tawar, Kamarol Zaki Abdul Malik dalam sidang DUN nanti.

"Usul itu dilihat bukanlah untuk mengemukakan rang undang-undang mengenai pelaksanaan hudud di Selangor. Sebaliknya, usul itu lebih menjurus kepada pertanyaan mengenai pendirian kerajaan negeri sama ada mahu melaksanakan hukum hudud di negeri ini termasuklah mungkin akan mengadakan kajian atau pandangan rakyat mengenai pelaksanaan hukum itu.

"Oleh kerana hudud merupakan agenda Pas, maka biarlah parti itu mengusulkan pelaksanaan hukum itu di Selangor. Kita lihatlah sejauh mana kebertanggungjawaban Pas dalam merintis pelaksanaan hudud di negeri ini," katanya kepada pemberita selepas meninjau kawasan tapak projek Hybrid Off River Augmentation System (HORAS) di Bestari Jaya, di sini hari ini.

Yang hadir sama meninjau tapak projek tersebut ialah ADUN Permatang, Sulaiman Abdul Razak; ADUN

Dengkil, Mohd. Shahrum Mohd. Sharif; ADUN Kota Damansara, Halimaton Saadiah Bohan dan ADUN Sungai Air Tawar, Kamarol Zaki.

Dalam pada itu, Mohd. Shamsudin yang juga ADUN Sungai Burong mahu Pas khususnya di Selangor lebih bertanggungjawab dalam setiap tindak-tanduk serta janjinya kepada rakyat untuk menubuhkan negara Islam termasuklah melaksanakan sistem perundangan Islam sekiranya diberikan mandat mentadbir negara atau negeri.

"Di Kelantan, kerajaan negeri itu dilihat membawa sendiri usul untuk melaksanakan hudud. Sepatutnya Pas Selangor yang telah mendapat mandat mentadbir negeri ini perlu melaksanakan usaha yang sama, selaras dengan agenda perjuangan parti itu sendiri.

"Jangan hanya bercakap. Pas Selangor yang mentadbir negeri ini kena tunjukkan komitmen serta pendirian mereka dalam pelaksanaan hudud dengan mengadakan kajian, penilaian persepsi rakyat dalam kalangan orang Islam dan bukan Islam selain menyediakan penelitian teknikal melibatkan pembuktian, pendakwaan dan hukuman melibatkan kes-kes syariah," jelasnya.

Sementara itu, Sulaiman meminta Pas tidak menjadikan alasan kononnya tidak cukup suara dalam DUN untuk membentangkan usul menyatakan pendirian atau mengadakan kajian mengenai pelaksanaan hudud di Selangor.

"Selain Pas ada 15 kerusi DUN, Parti Keadilan Rakyat (PKR) juga mempunyai 10 ADUN beragama Islam dalam DUN Selangor termasuklah 12 orang ADUN Islam daripada BN. Sekiranya Pas mengusulkan kajian hudud itu, mungkin kesemua ADUN beragama Islam boleh memberikan pertimbangan," ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment