My Add

Friday 20 June 2014

Desakan 4 pemimpin Pas menghina

KUALA LUMPUR, KHAMIS 19 Jun, 2014: Desakan empat Ahli Parlimen Pas supaya kuasa Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dalam menjaga kedaulatan agama Islam di negeri itu dikurangkan merupakan satu penghinaan kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan rakyat negeri berkenaan.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata, ini kerana, tiga daripada pemimpin tersebut bukanlah anak jati Selangor dan mereka juga sepatutnya tahu bahawa Sultan Selangor adalah penaung kepada MAIS.

"Isu MAIS ini di bawah Sultan Selangor jadi kalau mempertikai kuasa MAIS bermakna mempersoal kuasa baginda. Memang betul mereka ada dua pertiga suara dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) dan boleh pinda Perlembagaan tetapi kena ingat bahawa MAIS di bawah baginda kalau mahu kurangkan kuasa itu maka kuranglah juga kuasa baginda.

"Saya amat kesal kerana saya tengok tiga daripada Ahli Parlimen yang buat kenyataan itu bukannya anak jati Selangor, jadi mereka tidak menghormati rakyat Selangor dan kuasa baginda," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Empat pemimpin Pas Selangor kelmarin mendesak MAIS tidak lagi diberi kuasa dalam menjaga kedaulatan agama Islam di negeri itu dengan meminda enakmen yang selama ini memberi tanggungjawab kepada badan agama berkenaan.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad dilaporkan berkata, kajian semula enakmen itu perlu berikutan tindakan JAIS yang menjatuhkan imej Islam apabila merampas 300 Bible milik Persatuan Bible Malaysia (BSM) pada Januari lalu.

Khalid menegaskan, penghapusan kuasa MAIS itu boleh dilakukan kerana Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor mempunyai suara majoriti dua pertiga DUN Selangor untuk memberi sokongan terhadap sebarang pindaan pada enakmen berkaitan.

Turut bersama beliau pada sidang akhbar di lobi Parlimen ketika menyatakan desakan itu ialah tiga Ahli Parlimen Pas iaitu Dr. Siti Mariah Mahmud (Kota Raja), Dr. Che Rosli Che Mat (Hulu Langat) dan Mohamed Hanipa Maidin (Sepang).

Sementara itu, Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang berkata, tiga pemimpin Pas itu tidak mempunyai hak untuk mempersoalkan MAIS dan sepatutnya membiarkan isu tersebut diselesaikan di dalam DUN Selangor.

"Inilah sikap tidak adil mereka. Bila saya bawa usul di Parlimen berhubung kerajaan negeri, Khalid menuduh saya tidak percaya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) di Selangor tetapi dia sendiri melakukannya," kata beliau. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment