My Add

Saturday 21 June 2014

Dua lelaki disyaki ejen dan tekong ditahan

 * ANGGOTA Bomba dan Penyelamat bersama anjing pengesan yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa tongkang karam membawa pendatang asing tanpa izin (PATI) Indonesia di arah pulang ke pusat operasi di jeti nelayan Kampung Kelanang, Banting, Selangor, kerana ombak kuat dan keadaan laut yang bergelora. - UTUSAN/Saharuddin Abdullah
SHAH ALAM, JUMAAT 20 Jun, 2014: Polis menahan dua lelaki warga Indonesia kerana disyaki menjadi ejen dan tekong darat dalam tragedi tongkang karam di perairan Sungai Air Hitam, Pulau Carey di Kuala Langat, Rabu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Datuk Mohd. Adnan Abdullah berkata, kedua-duanya yang berusia 44 dan 54 tahun ditahan di sebuah premis di Jalan Tengku Badar, Pelabuhan Klang di sini pukul 3 pagi ini.

Katanya, polis turut merampas dua unit telefon bimbit milik kedua-duanya serta pasport yang masih sah.

"Siasatan terperinci akan dibuat bagi mengenal pasti penglibatan mereka dalam urusan penghantaran penumpang warganegara Indonesia melalui laluan haram itu.

"Mereka kini direman sehingga 26 Jun ini untuk membantu siasatan," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini hari ini.

Sementara itu, Pengarah Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Leftenan Komander Mohd. Hambali Yaakup berkata, oOperasi mencari dan menyelamat yang memasuki hari ketiga diperluaskan sehingga 180 kilometer dari pesisir pantai Banting sehingga selatan perairan Sepang.

Katanya, pencarian melibatkan seramai 311 anggota yang terdiri daripada pelbagai agensi penguatkuasaan dan juga menggunakan 52 aset pelbagai agensi keselamatan termasuk helikopter, bot dan juga kapal.

"Setakat ini mangsa yang dijumpai di Tanjung Sepat masih 20 orang iaitu 16 lelaki dan empat orang wanita manakala tujuh lagi masih hilang," katanya dalam sidang akhbar di Pelabuhan Klang.

Di perairan Sungai Air Hitam, Pulau Carey katanya, sebanyak 77 mangsa telah ditemui manakala 14 maut dan 20 lagi masih hilang.

Mohd. Hambali memberitahu, bagi mengukuhkan pencarian, sebuah kapal KD Selangor milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah dihantar ke kawasan pencarian di selatan perairan Sepang.

Dalam pada itu, beliau mendedahkan, bot pancung tersebut menggunakan modus operandi baharu apabila membawa penumpangnya dengan kelajuan rendah iaitu antara lapan hingga 10 knot bagi mengelak dikesan radar Maritim Malaysia.

"Mereka akan memecut sejurus melepasi sempadan negara," katanya.

Selain itu, kata beliau, Maritim Malaysia juga telah merangka pelan tindakan menyeluruh bagi membanteras aliran keluar masuk pendatang asing tanpa izin (PATI) yang dijangka meningkat menjelang Ramadan dan hari raya tidak lama lagi. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment